Terkini
279 kes: Laporan Knesset dedah peningkatan kes askar Israel bunuh diri
- Menurut data rasmi laporan Pusat Penyelidikan dan Maklumat Knesset, sebanyak 279 askar Israel telah cuba membunuh diri antara Januari 2024 dan Julai 2025.
- Data tersebut turut menunjukkan bahawa 124 askar ‘Israel’ telah meninggal dunia akibat bunuh diri sejak tahun 2017, dengan majoritinya, 68 peratus merupakan askar wajib tentera, 21 peratus askar simpanan, dan 11 peratus askar tetap.
- Penyelidik mendapati peningkatan ketara dalam kes bunuh diri di kalangan askar simpanan selepas tahun 2023, berkait rapat dengan panggilan mobilisasi besar-besaran selepas peningkatan konflik di Gaza.
TEL AVIV – Satu laporan baharu daripada Pusat Penyelidikan dan Maklumat Knesset telah mendedahkan peningkatan mendadak dalam cubaan bunuh diri dalam kalangan askar Israel sejak bermulanya perang terhadap Gaza.
Menurut data rasmi yang dipetik oleh penyiar awam ‘Israel’, KAN, yang dipetik Roya News, sebanyak 279 askar Israel telah cuba membunuh diri antara Januari 2024 dan Julai 2025.
Laporan itu menggambarkan angka tersebut sebagai “membimbangkan,” dengan menyatakan bahawa 12 peratus daripada cubaan itu diklasifikasikan sebagai serius, manakala 88 peratus dianggap sederhana. Daripada jumlah itu, 36 kes berakhir dengan kematian.
Data tersebut turut menunjukkan bahawa 124 askar Israel telah meninggal dunia akibat bunuh diri sejak tahun 2017, dengan majoritinya, 68 peratus merupakan askar wajib tentera, 21 peratus askar simpanan, dan 11 peratus askar tetap.
Penyelidik mendapati peningkatan ketara dalam kes bunuh diri di kalangan askar simpanan selepas tahun 2023, yang berkait rapat dengan panggilan mobilisasi besar-besaran selepas peningkatan konflik di Gaza.
Ahli Knesset Ofer Cassif, seorang penggubal undang-undang berhaluan kiri yang menggesa kajian berkenaan dijalankan, mengecam cara kerajaan menangani krisis tersebut.
“Epidemik bunuh diri ini, yang dijangka meningkat selepas tamatnya perang, memerlukan penubuhan sistem sokongan sebenar untuk para askar, usaha untuk menamatkan peperangan, dan mencapai keamanan yang tulen.
“Kerajaan yang menghantar askarnya ke medan perang dan meninggalkan mereka untuk menghadapi akibatnya sendirian sebenarnya bertindak menentang mereka,” katanya. – The Merdeka Times