Terkini
‘200 jam Pendidikan Islam seminggu, salah laku pelajar bukan salah sekolah’
- Mantan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Tan Sri Datuk Alimuddin Mohd Dom berkata pelajar di sekolah rendah sudah menerima pendidikan agama secara konsisten selama 6 hingga 11 tahun, dan jumlah itu sangat mencukupi untuk membentuk jati diri yang kukuh.
- “Kita mewajibkan pendidikan agama Islam (di sekolah), bersamaan 120 minit seminggu, dengan pengisian al-Quran, akidah, fiqah, sirah dan akhlak Islam.
- “Tak cukup dengan itu, petang pula pelajar belajar KAFA, kelas agama dan juga fardu ain bagi tiga jam satu hari. Campur kedua-dua itu lebih kurang 200 jam seminggu belajar tentang ilmu-ilmu agama termasuklah adab, etika dan sebagainya,” katanya.
KUALA LUMPUR – Kes salah laku pelajar bukan salah pihak sekolah kerana Pendidikan Islam diberikan penekanan besar dalam sistem persekolahan negara dengan pelajar menerima sehingga 200 jam seminggu pendedahan terhadap ilmu agama bagi membentuk jati diri.
Mantan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Tan Sri Datuk Alimuddin Mohd Dom berkata sistem sekolah sudah memainkan peranan sepenuhnya dalam mendidik murid, namun terdapat faktor luar yang turut memberi kesan kepada pembentukan sahsiah pelajar.
“Kita mewajibkan pendidikan agama Islam (di sekolah), bersamaan 120 minit seminggu, dengan pengisian al-Quran, akidah, fiqah, sirah dan akhlak Islam.
“Tak cukup dengan itu, petang pula pelajar belajar KAFA, kelas agama dan juga fardu ain bagi tiga jam satu hari. Campur kedua-dua itu lebih kurang 200 jam seminggu belajar tentang ilmu-ilmu agama termasuklah adab, etika dan sebagainya.
“Jadi kalau berlaku perkara-perkara di luar disiplin macam yang heboh sekarang ini, bukan salah pendidikan, ini salah pelajar itu sendiri,” katanya ketika menjadi panelis dalam program Bicara Persada “Pendidikan Cacat? Akademik Tidak, Moral Pun Tidak” anjuran Institut Pembangunan & Kemajuan Inklusif Malaysia (MINDA-UKM).
Alimuddin menegaskan bahawa pelajar di sekolah rendah sudah menerima pendidikan agama secara konsisten selama 6 hingga 11 tahun, dan jumlah itu sangat mencukupi untuk membentuk jati diri yang kukuh.
Dalam pada itu, beliau turut memetik pandangan ahli psikologi yang menyatakan bahawa dua faktor utama mempengaruhi kemenjadian pelajar, iaitu heredity (genetik) dan environment (persekitaran).
“Walaupun genetik bagus, kalau persekitaran tidak membantu pelajar itu berjaya, maka pelajar itu akan rosak. Jadi mendidik pelajar ini macam menanam pokok. Guru-guru membelai pokok itu, tabur baja, siram air dan sebagainya.
“Tetapi tidak cukup, pokok itu akan musnah kalau ada gangguan daripada serangga, daripada manusia, iklim dan sebagainya. Itulah umpama seorang pelajar yang dididik,” jelasnya lagi.
Tambahnya, kejayaan pendidikan memerlukan kerjasama antara guru, ibu bapa, komuniti dan pelajar itu sendiri bagi memastikan nilai yang diajar dapat dipraktikkan dalam kehidupan seharian. – The Merdeka Times