Terkini
(VIDEO) LAPORAN KHAS : Pendidikan Malaysia, Antara kepelbagaian aliran dan cabaran perpaduan
Di sebuah sekolah rendah di Kuala Lumpur, kanak-kanak Melayu, Cina dan India melangkah ke kelas berbeza setiap pagi. Ada yang ke Sekolah Kebangsaan (SK), ada yang ke Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), dan ada juga ke Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT).
Fenomena ini telah menjadi sebahagian daripada landskap pendidikan Malaysia sejak merdeka.
Namun, bagi bekas Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khaled, sistem ini jika tidak diuruskan dengan baik berpotensi menimbulkan jurang yang sukar dirapatkan.
“Malaysia menerima dasar pendidikan berasaskan bahasa ibunda sejak awal lagi. Kita ada lebih 1,300 SJKC, hampir 500 SJKT dan hampir 4,000 SK.
“Situasi ini unik, tetapi berbeza dengan Singapura, Indonesia dan Thailand yang hanya mengamalkan satu sistem sekolah nasional.
“Kalau mahu tutup sekolah vernakular sekarang, ia bukan mudah kerana sudah lebih 60 tahun berakar. Yang penting ialah mengurus perbezaan ini secara strategik,” kata Mahdzir dalam temubual eksklusif bersama The Merdeka Times.
Matrikulasi: Antara Kuota dan Peluang
Program matrikulasi sering menjadi medan perdebatan kerana sistem kuotanya. Pada 2019, kerajaan meningkatkan jumlah tempat ke 40,000 berbanding 25,000 sebelum itu.
Namun, kuota asal kekal 90 peratus untuk Bumiputera dan 10 peratus untuk bukan Bumiputera.
“Kalau ada cadangan tutup matrikulasi, saya tidak setuju. Matrikulasi dan Tingkatan Enam adalah dua ruang penting untuk Bumiputera masuk ke universiti. Kita kena tambah ruang interaksi antara kaum, bukan kurangkan,” tegas Mahdzir.
Namun, angka rasmi juga mendedahkan cabaran.
Pada 2019, daripada 84,891 permohonan, hanya sekitar 4,068 pelajar bukan Bumiputera ditawarkan tempat.
Realiti ini menimbulkan rasa terpinggir dalam kalangan sebahagian masyarakat bukan Bumiputera.
Pilihan Lepasan SJKC: Data Dong Zong
Satu lagi isu besar ialah hala tuju lepasan sekolah jenis Cina.
Dalam satu kajian Dong Zong pada 2017 terhadap 8,655 pelajar lepasan sekolah persendirian Cina, 76.18 peratus melanjutkan pelajaran selepas tamat persekolahan menengah, dan daripada jumlah itu 56.24 peratus memilih institusi tempatan.
Walaupun angka “95 peratus lepasan SJKC ke aliran Cina” sering dipetik dalam wacana politik, data rasmi tidak menyokongnya.
Realiti lebih kompleks apabila majoriti memang cenderung ke institusi berbahasa Cina atau dwibahasa, namun sebahagian juga menyambung ke IPT tempatan termasuk universiti awam.
“Kalau tidak diurus, akhirnya akan wujud pengasingan. Melayu dengan laluan matrikulasi atau Tingkatan Enam, Cina dengan aliran vernakular, kaum lain pula mencari ruang masing-masing. Bila mereka nak berjumpa sesama kaum?” ujar Mahdzir.
Sekolah Antarabangsa: Jurang Kelas Baharu
Di samping perbezaan aliran, Malaysia kini berdepan cabaran lain iaitu pertumbuhan sekolah antarabangsa. Menurut Kementerian Pendidikan, lebih 80,000 murid kini belajar di sekolah antarabangsa berbanding hanya 27,000 pada 2012.
Sekolah swasta juga semakin menjadi pilihan bagi golongan T20 dan sebahagian M40.
“Golongan berada hantar anak ke sekolah antarabangsa, B40 kekal di sekolah kebangsaan. Ini melahirkan jurang kelas yang ketara. Dalam jangka panjang, ia boleh menjejaskan integrasi sosial,” jelas Mahdzir.
Fenomena ini mencerminkan pilihan ibu bapa yang mahu kualiti lebih baik, tetapi pada masa sama menghakis fungsi sekolah kebangsaan sebagai “tapak penyatuan nasional”.
Kedudukan PISA dan UNESCO
Dalam ujian PISA 2022, Malaysia mencatat skor purata 416 Matematik, 409 Sains dan 388 Membaca, jauh di bawah Singapura yang berada di tangga pertama dunia. Namun, Mahdzir menolak jika penarafan ini dijadikan ukuran tunggal.
“Saya pernah duduk dalam lembaga UNESCO. Kita tidak boleh nilai pendidikan semata-mata pada ranking. Yang lebih penting ialah bagaimana sistem kita memberi peluang sama rata kepada empat demografi utama: bandar, pinggir bandar, luar bandar dan pedalaman,” jelasnya.
Luar Bandar dan Pedalaman: Realiti Murid Terpinggir
Di Sabah, Sarawak dan kawasan Orang Asli, cabaran pendidikan jauh berbeza. Ada murid berusia tujuh tahun yang sudah perlu tinggal di asrama harian kerana sekolah begitu jauh. Ada yang perlu berperahu berjam-jam semata-mata ke sekolah.
“Anak-anak Orang Asli dan pedalaman ini perlu diberi perhatian. Mereka sebahagian daripada masa depan negara. Kalau kita mahu adil, mereka juga mesti menikmati kualiti pendidikan yang sama,” kata Mahdzir.
Reformasi Inklusif: Jalan Ke Hadapan
Berdasarkan wawancara dan data rasmi, jelas bahawa isu pendidikan bukan sekadar soal kurikulum atau peperiksaan. Ia menyentuh identiti nasional, perpaduan kaum, dan jurang kelas.
Sistem pendidikan Malaysia yang berbilang aliran ialah warisan sejarah sejak merdeka.
Namun, dalam konteks abad ke-21, ia menjadi cabaran yang perlu ditangani dengan lebih strategik. Mahdzir Khaled mengingatkan bahawa tanpa pengurusan yang adil dan inklusif, sistem ini berisiko memperlebar jurang, baik dari segi kaum mahupun kelas sosial.
Isu pendidikan bukan sekadar akademik.
Ia tentang bagaimana kita mahu membina sebuah negara bangsa. Kerajaan mesti bijak mengurus perbezaan ini, kalau tidak ia boleh menjejaskan masa depan negara. -The Merdeka Times