Connect with us

Terkini

Turun syarat jururawat 3 kredit SPM berisiko jejas kualiti kesihatan – Doktor

Published

on

Foto: Dr Ahmad Fadhzil Mohamad

 

  • “Jururawat bukan kerja main-main. Mereka orang pertama yang kita jumpa bila sakit, kemalangan, bersalin atau serangan jantung. Kalau dari awal ‘filter’ longgar, esok lusa nyawa rakyat jadi bahan eksperimen,” – Dr Ahmad Fadhzil Mohamad
  • Beliau mencadangkan KKM mengekalkan syarat lima kredit termasuk subjek sains wajib lulus, selain menambah pengambilan kolej jururawat serta meningkatkan fasiliti dan tenaga pengajar.

 

KANGAR – Cadangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk menurunkan syarat kemasukan jururawat daripada lima kredit Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kepada tiga kredit menimbulkan kebimbangan mengenai keselamatan pesakit dan kualiti sistem kesihatan negara.

Menurut Dr Ahmad Fadhzil Mohamad dalam hantaran Facebook, langkah itu mungkin bertujuan mengatasi masalah kekurangan jururawat, namun ia bukanlah penyelesaian jangka panjang.

Katanya, isu sebenar yang mendorong jururawat meninggalkan sektor awam ialah gaji rendah, beban kerja berlebihan serta penempatan yang tidak jelas.

“Jururawat bukan kerja main-main. Mereka orang pertama yang kita jumpa bila sakit, kemalangan, bersalin atau serangan jantung. Kalau dari awal ‘filter’ longgar, esok lusa nyawa rakyat jadi bahan eksperimen,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Beliau menegaskan, sudah banyak kes melibatkan kesilapan perubatan dilaporkan, dan langkah menurunkan standard hanya meningkatkan lagi risiko kecuaian.

“Nurse ibarat kalsium dalam badan, kalau tulang rapuh, badan jatuh. Kalau nurse tak cukup training dan skill, healthcare Malaysia rebah sama,” tegasnya.

Tambahnya, rakyat Malaysia kini semakin berpendidikan tinggi dan keputusan SPM saban tahun juga semakin baik. Oleh itu, langkah menurunkan syarat kredit tidak bertepatan dengan realiti.

Sebaliknya, beliau mencadangkan agar KKM mengekalkan syarat lima kredit termasuk subjek sains wajib lulus, selain menambah pengambilan kolej jururawat serta meningkatkan fasiliti dan tenaga pengajar.

Dr Ahmad Fadhzil turut mencadangkan kerajaan mewujudkan jawatan tambahan seperti Pembantu Jururawat atau Jururawat Masyarakat bagi meringankan beban kerja barisan hadapan, di samping menaikkan gaji serta elaun khususnya elaun kerja malam.

“Nurse bukan robot. Pastikan penempatan jelas dan teratur, bukan tunggu nasib,” ujarnya.

Beliau menambah, jururawat yang dilatih bukan hanya berkhidmat di hospital kerajaan, tetapi juga berpotensi menyertai sektor swasta, klinik perubatan am atau berhijrah ke luar negara.

Jika kualiti latihan dikompromi, katanya, Malaysia bukan sahaja kehilangan tenaga kerja mahir, malah menjejaskan reputasi negara.

“Masih belum terlambat untuk ubah balik keputusan ini. Malaysia nak maju, kita perlukan nurse yang cekap, sabar dan mahir. Healthcare bukan kira kuantiti. Healthcare adalah nyawa,” katanya.

Februari lalu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad mengumumkan syarat kemasukan ke program Diploma Kejururawatan bagi lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dilonggarkan kepada hanya tiga kredit iaitu mata pelajaran Bahasa Melayu, Matematik dan Sains, berkuat kuasa Januari lalu hingga Disember tahun depan.

Sebelum ini calon perlu mendapat lima kredit iaitu Bahasa Melayu, Matematik atau Matematik Tambahan, kredit salah satu mata pelajaran Sains (Biologi, Kimia, Fizik, Sains Gunaan), Bahasa Inggeris dan mendapat kepujian dalam mana-mana satu mata pelajaran lain untuk mengikuti program berkenaan.

Langkah itu menurut beliau adalah antara inisiatif kerajaan untuk menangani isu kekurangan jururawat di hospital kerajaan mahupun swasta.-The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author