Terkini
Tragedi Sungai Linggi: Mahkamah Syariah sahkan dua beradik lemas beragama Islam
- Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, keputusan itu dibuat dalam satu sesi pendengaran di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Syariah pada Selasa.
- Pengarah JHEAINS, Mohd Asri Abdullah menjelaskan pihaknya menerima permohonan rasmi daripada polis untuk menyemak status agama kanak-kanak itu selepas mendapati nama mereka dalam dokumen rasmi adalah nama masyarakat Cina.
- “Bapa mangsa memaklumkan bahawa anak-anaknya telah diislamkan di Kelantan. Namun, semakan bersama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan dan rekod JHEAINS tidak menemui sebarang catatan pengislaman tersebut. Kami bergantung kepada pengakuan bapa mangsa berhubung perkara itu dan meminta beliau membuat pengakuan bertulis kepada pihak polis,” katanya.
PORT DICKSON – Status agama dua beradik yang meninggal dunia selepas kereta dinaiki mereka terjunam ke Sungai Linggi, Tanjung Agas minggu lalu akhirnya terjawab apabila Mahkamah Tinggi Syariah Seremban mengesahkan mereka adalah beragama Islam.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, keputusan itu dibuat dalam satu sesi pendengaran di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Syariah pada Selasa.
“Hakim telah memutuskan bahawa kedua-dua mangsa adalah beragama Islam dan diperintahkan dikebumikan mengikut syariat Islam.
“Pengebumian mangsa akan diuruskan sepenuhnya oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) dan jenazah akan disemadikan di Tanah Perkuburan Maqbarah Salimah di sini,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, pihak waris juga bersetuju mewakilkan JHEAINS untuk menuntut serta menguruskan jenazah berkenaan.
Sebelum ini, media melaporkan JHEAINS mengambil inisiatif membantu menguruskan pengebumian setelah timbul persoalan mengenai status agama kedua-dua kanak-kanak terbabit.
Pengarah JHEAINS, Mohd Asri Abdullah menjelaskan pihaknya menerima permohonan rasmi daripada polis untuk menyemak status agama kanak-kanak itu selepas mendapati nama mereka dalam dokumen rasmi adalah nama masyarakat Cina.
“Bapa mangsa memaklumkan bahawa anak-anaknya telah diislamkan di Kelantan. Namun, semakan bersama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan dan rekod JHEAINS tidak menemui sebarang catatan pengislaman tersebut.
“Kami bergantung kepada pengakuan bapa mangsa berhubung perkara itu dan meminta beliau membuat pengakuan bertulis kepada pihak polis,” katanya.
Dua beradik berusia enam dan lapan tahun itu ditemui lemas selepas kereta yang dinaiki bersama bapa dan seorang wanita terjatuh ke dalam sungai berkenaan. Difahamkan, ketika kejadian kereta tersebut diparkir di tebing sungai dengan enjin dimatikan sementara bapa mangsa keluar sebentar untuk merokok.- The Merdeka Times