Terkini
‘Tiada kes’ Farhash, Rakyat anggap SPRM & AGC ‘cuci tangan’ selamatkan kroni politik – MUDA
- “Inilah punca rakyat melihat keputusan “tiada kes” ini sebagai satu lagi episod “cuci tangan” untuk menyelamatkan orang dalam jaringan kuasa politik Kerajaan Madani,” MUDA dalam satu kenyataan hari ini.
- “SPRM dan AGC hanya akan dihormati apabila mereka berani bertindak tanpa takut pada kuasa, selagi institusi ini dilihat menjadi alat untuk mencuci nama kroni politik, keyakinan rakyat terhadap negara ini akan terus hancur,” tegas MUDA.
KUALA LUMPUR – Keputusan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membersihkan nama Farhash Wafa Salvador dalam kes eksplorasi mineral di Sabah adalah keputusan tergesa-gesa yang mencabar akal sihat rakyat.
Biro Politik MUDA berkata hakikatnya, Jabatan Peguam Negara (AGC) hanya membuat keputusan berdasarkan kertas siasatan yang disediakan oleh SPRM.
“Jika SPRM menghantar kertas siasatan yang longgar atau tidak lengkap, maka AGC tidak ada asas untuk membuat pendakwaan.
“Inilah punca rakyat melihat keputusan “tiada kes” ini sebagai satu lagi episod “cuci tangan” untuk menyelamatkan orang dalam jaringan kuasa politik Kerajaan Madani,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, pihak SPRM turut mengakui syarikat berkaitan Farhash pernah diberi “kelulusan bersyarat” oleh Sabah Mineral Management (SMM) pada Mac 2023.
“Bagaimana syarikat yang gagal menyerahkan dokumen boleh sampai ke tahap itu? Mengapa pintu begitu mudah terbuka kepada syarikat yang rapat dengan bekas orang kanan Perdana Menteri?
“Rakaman audio Ketua Menteri Hajiji Noor yang dikaitkan dengan sokongan kepada syarikat tersebut, kenapa ia tidak diambil serius dalam siasatan?
“Rakyat juga tidak lupa, Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 4 September lalu menolak permohonan injunksi Farhash terhadap MalaysiaNow berhubung laporan skandal Sabah ini. Jika reputasinya benar-benar sudah bersih, mengapa masih berusaha keras menutup mulut media dengan saman RM10 juta? Apa sebenarnya yang cuba dilindungi,” soalnya.
Menurutnya, dalam masa rakyat diminta percaya kepada integriti SPRM, Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki sendiri kekal di kerusi kerana faktor survival politik, bukan prestasi.
“Survival beliau kini bergantung kepada restu Anwar Ibrahim dan Zahid Hamidi maka tidak hairan jika keputusan tergesa-gesa “membersihkan” Farhash dilihat sebagai sebahagian daripada harga survival tersebut.
“SPRM dan AGC hanya akan dihormati apabila mereka berani bertindak tanpa takut pada kuasa, selagi institusi ini dilihat menjadi alat untuk mencuci nama kroni politik, keyakinan rakyat terhadap negara ini akan terus hancur,” tegas Muda-The Merdeka Times