Terkini
Suami gagal bayar nafkah antara punca utama penceraian muslim di Malaysia – Telenisa 2024
- “Ramai wanita melaporkan kurangnya dialog mengenai kewangan, keperluan emosi tidak dipenuhi, dan konflik rumah tangga yang tidak diselesaikan akhirnya membawa kepada keretakan komunikasi serta perceraian.” – Pengurus Komunikasi SIS Forum, Ameena Siddiqi
- Laporan tersebut turut menggesa agar kerajaan menubuhkan Agensi Nafkah Anak peringkat Persekutuan bagi memperluaskan akses bantuan guaman untuk wanita B40, serta memperkukuh perlindungan bagi mangsa keganasan rumah tangga.
KUALA LUMPUR – Masalah komunikasi, keganasan rumah tangga dan kegagalan suami memberi nafkah kewangan dikenal pasti sebagai tiga punca utama penceraian pasangan Muslim di Malaysia sepanjang 2024, menurut laporan terkini SIS Forum (Malaysia).
Laporan itu, berdasarkan dapatan 188 klien di klinik guaman percuma Telenisa, mendapati masalah komunikasi kekal menjadi penyumbang tertinggi kepada perceraian, sama seperti tahun-tahun sebelumnya.
Pengurus Komunikasi SIS Forum, Ameena Siddiqi, berkata analisis mendalam menunjukkan masalah komunikasi berlaku tanpa mengira latar belakang sosio-ekonomi atau lokasi pasangan, sama ada di bandar mahupun luar bandar.
“Ramai wanita melaporkan kurangnya dialog mengenai kewangan, keperluan emosi tidak dipenuhi, dan konflik rumah tangga yang tidak diselesaikan akhirnya membawa kepada keretakan komunikasi serta perceraian,” katanya ketika pelancaran laporan itu pada Selasa lalu.
Ameena turut mencadangkan agar kursus pra-perkahwinan diperluas dengan modul yang mengajar pasangan cara berkomunikasi dengan lebih baik, termasuk dalam mengurus konflik.
SIS Forum dalam laporannya menegaskan, terdapat keperluan mendesak untuk melaksanakan program sokongan perkahwinan yang menekankan kemahiran komunikasi dan pengurusan kewangan. Program sebegini, katanya, boleh membekalkan pasangan dengan alat untuk menyelesaikan konflik secara aman tanpa keganasan.
Statistik Telenisa 2024 ini sekali gus menegaskan bahawa isu penceraian dalam kalangan Muslim bukan sekadar berpunca daripada perbezaan peribadi, tetapi turut mencerminkan cabaran struktur yang mendalam dalam institusi perkahwinan.
Laporan tersebut turut menggesa agar kerajaan menubuhkan Agensi Nafkah Anak peringkat Persekutuan bagi memperluaskan akses bantuan guaman untuk wanita B40, serta memperkukuh perlindungan bagi mangsa keganasan rumah tangga.
SIS Forum menekankan bahawa sistem keadilan Syariah mesti berlandaskan maqasid al-shari‘ah, dengan memberi keutamaan kepada maruah, keselamatan dan kebajikan wanita serta kanak-kanak. -The Merdeka Times