Terkini
Sejarah hitam 1889: Dickson rampas Tanjung Kemuning, NGO mahu nama Port Dickson diganti ‘Pantai Dermaga’
- “Sejarah tanah ini tidak bermula dengan Dickson, Gabenor British yang berpangkalan di Singapura. Sekitar tahun 1889, beliau merampas Tanjung Kemuning lalu menamakannya Port Dickson, menyebabkan sebuah kampung Melayu iaitu Kampung Bahasa Kapor lenyap,” – Pengerusi Identiti, Islah Wahyudi Zainudin
- Islah menjelaskan Pantai Dermaga dipilih kerana membawa makna pantai pelabuhan dan dalam masa sama mengekalkan akronim PD sebagai identiti tempatan.
PORT DICKSON – Gabungan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menggesa agar nama Port Dickson ditukar kepada Pantai Dermaga bagi menghapuskan legasi penjajah sekali gus mengekalkan identiti warisan negara.
Antara NGO yang terlibat termasuk Pertubuhan Pemerkasaan Identiti Malaysia (Identiti), Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (Pembela), Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Gabungan Nasionalis (GN) serta Majlis Perundingan Melayu (MPM).
Pengerusi Identiti, Islah Wahyudi Zainudin berkata, pihak berwajib perlu mengambil tindakan segera agar nama baharu dapat digunakan demi memastikan identiti negara terus dipelihara.
“Sejarah tanah ini tidak bermula dengan Dickson, Gabenor British yang berpangkalan di Singapura. Sekitar tahun 1889, beliau merampas Tanjung Kemuning lalu menamakannya Port Dickson, menyebabkan sebuah kampung Melayu iaitu Kampung Bahasa Kapor lenyap,” jelasnya pada sidang media pertukaran nama itu, baru-baru ini.
Menurut Islah, bukti kewujudan Kampung Bahasa Kapor kini hanya tinggal Masjid Lama Port Dickson yang terletak bersebelahan Ibu Pejabat Polis Daerah Port Dickson.
Beliau meluahkan rasa kecewa kerana selepas 68 tahun Malaysia mencapai kemerdekaan daripada penjajah British pada 1957, masih banyak nama berkaitan kolonial terus digunakan.
“Perkara ini tidak sepatutnya dijulang atau dibanggakan, bukan sahaja oleh masyarakat setempat tetapi juga seluruh negara,” tegasnya.
Islah menambah, usaha menukar nama penjajah kepada nama tempatan telah lama dimulakan sejak awal kemerdekaan, namun masih ada lokasi kekal dengan nama kolonial.
Antara contoh penukaran nama yang pernah dilakukan termasuk North Borneo kepada Sabah (1963), Jesselton kepada Kota Kinabalu (1965), Port Swettenham kepada Pelabuhan Klang (1972), Province Wellesley kepada Seberang Perai (1972), Telok Anson kepada Teluk Intan (1982), dan Port Weld kepada Kuala Sepetang (1982).
“Kenapa usaha ini dihentikan? Mengapa tidak diteruskan supaya identiti asal negara kita dapat diperkukuh dan nama penjajah disingkirkan?” soalnya.
Mengulas cadangan nama baharu, Islah menjelaskan Pantai Dermaga dipilih kerana membawa makna pantai pelabuhan dan dalam masa sama mengekalkan akronim PD sebagai identiti tempatan.
“Sebahagian besar kawasan di sini ialah pantai, manakala dermaga bermaksud pelabuhan. Ia sesuai dengan sejarah kawasan ini yang sememangnya mempunyai beberapa pelabuhan,” katanya.-The Merdeka Times