Connect with us

Terkini

RON95 RM1.99 mulai 30 September – Anwar

Published

on

Foto: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim
  • Harga petrol RON95 dikurangkan kepada RM1.99 seliter berbanding RM2.05 seliter, berkuat kuasa 30 September ini.
  • Buat pengguna bukan warganegara pula perlu membayar harga petrol RON95 sebanyak RM2.60 bermula pada tarikh yang sama.
  • Berdasarkan data Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), dianggarkan lebih 16 juta penerima manfaat BUDI95.
  • Seperti SARA, tiada pendaftaran diperlukan untuk BUDI95, hanya perlu menggunakan MyKad untuk mendapat harga bersubsidi.

KUALA LUMPUR – Harga petrol RON95 dikurangkan kepada RM1.99 seliter berbanding RM2.05 seliter, berkuat kuasa 30 September ini melalui penyasaran subsidi di bawah program BUDI MADANI RON95 (BUDI95) tanpa mengambil kira tahap pendapatan.

Berita gembira itu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini pada perjumpaan beliau bersama warga Jabatan Perdana Menteri bagi bulan September 2025 di sini hari ini.

Sementara itu menurut Anwar, buat pengguna bukan warganegara pula perlu membayar harga petrol RON95 sebanyak RM2.60 bermula pada tarikh yang sama.

“Kita putuskan untuk meletakkan kadar RON95 daripada RM2.05 kepada RM1.99 seliter bermula 30 September 2025 dan saya juga sebutkan manfaat dan keistimewaan ini hanya sebagai penghargaan semangat dari Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia, jadi penghargaan kepada rakyat Malaysia seluruhnya.

“Mulai 30 September (juga), bukan warganegara dan syarikat besar tidak layak terima subsidi kerana ikut perseorangan, itu bermula 30 September pada harga RM2.60,” katanya.

Perdana Menteri turut menyatakan, semua warganegara layak menerima penyasaran BUDI95 dan dalam masa sama harga petrol di pam akan dinaikkan tanpa subsidi.

“Sebelum tarikh kuat kuasa dan sebagai penghargaan, warga polis dan tentera akan mula menikmati harga RM1.99 seliter pada hari Sabtu, 27 September 2025.

“Di samping itu, golongan B40 yang merupakan penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR), juga boleh mula menikmati harga RM1.99 seliter bermula hari Ahad, 28 September 2025 dan pelaksanaan ini supaya rakyat dapat membiasakan diri dengan mekanisme RON95 secara berperingkat,” katanya.

Tambah Anwar, berdasarkan data Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), dianggarkan lebih 16 juta penerima manfaat BUDI95

Jelas beliau, rakyat dinasihatkan supaya semak cip MyKad supaya berfungsi dan memiliki lesen memandu sah.

“Seperti SARA, tiada pendaftaran diperlukan untuk BUDI95, hanya perlu menggunakan MyKad untuk mendapat harga bersubsidi. Hampir serupa dengan proses transaksi semasa, hanya tambah satu langkah pengesahan MyKad diikuti proses biasa untuk membayar.

“Disediakan pembaca MyKad di dalam kedai dan juga di pam minyak bagi mengurangkan risiko kesesakan. Untuk mereka yang celik digital, terdapat opsyen digital seperti TouchNGo dan aplikasi syarikat minyak seperti Setel, supaya tidak memerlukan MyKad setiap transaksi,” katanya.

Perdana Menteri menegaskan, Malaysia menjadi satu-satunya negara yang berani mengambil langkah menurunkan harga minyak bagi rakyatnya dan tidak untuk warga asing.

“Ini dasar dilakukan dalam keadaan negara masih terbeban dengan hutang yang kita warisi, tetapi ia dapat dilakukan kerana kita lihat ada tahap kecekapan yang baik, hasil lebih baik.

“Mengelakkan daripada ketirisan yang pernah berlaku atau kelompok yang besar umpamanya penyeludupan yang mengelak daripada pembayaran cukai, ini kalau dapat dikurangkan maka pulangan kepada rakyat itu lebih baik,” katanya. – The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author