Connect with us

Terkini

Rekod dedah kebanyakan kes buli MRSM libat pelajar dari keluarga bermasalah – Pengerusi MARA

Published

on

Foto: Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki
  • Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata perkara itu terbukti melalui rekod lampau yang dianalisis pihak pengurusan MARA dan menjadi faktor dominan dalam kes-kes buli yang berlaku.
  • MARA akan memperkukuh langkah intervensi awal dengan menggerakkan peranan kaunselor dan guru MRSM bagi mengenal pasti latar belakang setiap pelajar serta mendekati mereka secara lebih dekat.

 

KUALA LUMPUR – Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mendedahkan bahawa kebanyakan kes buli di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) berpunca daripada pelajar yang datang daripada keluarga berantakan dan bermasalah, sekali gus memberi kesan besar kepada psikologi dan emosi mereka ketika berada di asrama.

Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata perkara itu terbukti melalui rekod lampau yang dianalisis pihak pengurusan MARA dan menjadi faktor dominan dalam kes-kes buli yang berlaku.

“Berdasarkan rekod lampau, kebanyakan kes buli di MRSM berpunca daripada pembuli yang berlatar-belakangkan keluarga yang berantakan dan bermasalah sehingga memberi kesan psikologi dan emosi kepada anak di asrama,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook.

Sehubungan itu, katanya, MARA akan memperkukuh langkah intervensi awal dengan menggerakkan peranan kaunselor dan guru MRSM bagi mengenal pasti latar belakang setiap pelajar serta mendekati mereka secara lebih dekat.

Beliau menegaskan bahawa pendekatan ini penting supaya proses taalim (mengajar) dan taadib (menyemai nilai dan adab) dapat dilakukan dengan lebih berkesan dan menyeluruh.

“Di MRSM, pendekatan ini seharusnya lebih mudah kerana sudah wujud sistem ‘homeroom’, di mana pelajar mempunyai adik-beradik angkat dengan pemantauan guru yang bertindak sebagai ibu atau bapa angkat mereka,” jelasnya.

Asyraf berkata, gabungan intervensi pendidikan bersama tindakan punitif yang tegas terhadap mana-mana pelajar yang masih terbabit dalam buli tanpa mengira darjat, pangkat, latar keluarga mahupun ‘connection’, diyakini mampu memutuskan rantaian gejala itu.

Katanya, dapatan ini bukan sekadar pandangan peribadi, sebaliknya berasaskan data kes buli lampau yang telah dikaji dan dibentangkan kepada pihak pengurusan MARA untuk tindakan tuntas. -The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author