Terkini
Persatuan Cina Muslim dedah papan iklan dakwah Islam diturunkan tanpa sebab jelas
- Pada September, persatuan itu sekali lagi menerima panggilan daripada syarikat papan iklan yang meminta agar papan iklan berkenaan ditukar lokasi dengan alasan pihak berkuasa mahu menebang pokok di kawasan tersebut.
- “Pada mulanya alasan itu agak lemah, tapi akhirnya kami diberitahu papan iklan kami tidak diluluskan kerana ada pihak mempersoalkan mengapa orang Cina memasang papan iklan tentang Islam. Apabila dijelaskan ia milik Muslim Cina, mereka kata lebih baik diturunkan kerana ada aduan,” jelas kenyataan itu.
KUALA LUMPUR – Persatuan Cina Muslim (He-Ping Chinese Muslim Society) melahirkan rasa kecewa apabila papan iklan yang memaparkan mesej dakwah Islam milik mereka di Cheras diturunkan tanpa penjelasan yang munasabah, meskipun telah mendapat kelulusan pihak berkuasa tempatan dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
Menurut persatuan itu, papan iklan berkenaan dipasang pada April lalu hasil kutipan dana daripada ahli untuk berkongsi mesej Islam kepada masyarakat. Namun, tidak sampai dua bulan selepas ia dipasang, papan iklan tersebut hilang secara misteri.
“Kami hubungi syarikat papan iklan dan mereka juga terkejut serta tidak tahu siapa yang menurunkannya. Sedangkan permit telah diluluskan oleh pihak berkuasa. Sebagai ganti rugi, syarikat tawarkan lokasi baharu kira-kira 50 meter dari lokasi asal dan ia dipasang semula pada Jun 2025,” kata kenyataan persatuan itu di Facebook.

Foto: Tangkap layar hantaran Facebook He-Ping Chinese Muslim Society.
Namun pada September, persatuan itu sekali lagi menerima panggilan daripada syarikat papan iklan yang meminta agar papan iklan berkenaan ditukar lokasi dengan alasan pihak berkuasa mahu menebang pokok di kawasan tersebut.
“Pada mulanya alasan itu agak lemah, tapi akhirnya kami diberitahu papan iklan kami tidak diluluskan kerana ada pihak mempersoalkan mengapa orang Cina memasang papan iklan tentang Islam.
“Apabila dijelaskan ia milik Muslim Cina, mereka kata lebih baik diturunkan kerana ada aduan,” jelas kenyataan itu.
Persatuan itu mempersoalkan kenyataan berkenaan yang dianggap seolah-olah mendiskriminasi identiti Muslim Cina.
“Adakah Muslim Cina bukan Muslim? Atau tidak cukup Muslim untuk berkongsi tentang Islam? Mengapa papan iklan yang hanya memaparkan ayat al-Quran dianggap bermasalah?” soal mereka.
He-Ping Chinese Muslim Society menegaskan papan iklan itu tidak membawa sebarang elemen komersial atau iklan jualan, sebaliknya hanya bertujuan menyampaikan mesej Islam secara damai.
Mereka turut mendakwa lokasi asal papan iklan tersebut sebelum ini tidak pernah menimbulkan masalah selama lima tahun, malah lokasi baharu yang disewa juga telah digunakan lebih sedekad tanpa sebarang isu.
“Anehnya, hanya papan iklan kami yang dianggap bermasalah,” kata kenyataan itu lagi.
Persatuan itu memilih untuk tidak mendesak syarikat papan iklan mendedahkan pihak berkuasa yang membuat permintaan berkenaan bagi mengelakkan keadaan lebih sukar.-The Merdeka Times