Terkini
Perkasa semula Cawangan Khas, tangani ancaman keselamatan negara
- Malaysia kini dilihat berada dalam kedudukan yang semakin bergantung kepada kuasa luar, dan ia menimbulkan kebimbangan terhadap kedaulatan serta keselamatan jangka panjang negara.
- Dengan itu negara mesti perkasakan balik Special Branch (Cawangan Khas) itu supaya berkebolehan memecahkan sesuatu pakatan sebelum ia menjadi pakatan besar.
- Beliau menegaskan, jika usaha memperkukuhkan keselamatan dalam negara tidak diberi keutamaan, kemungkinan besar institusi keselamatan serta kedaulatan negara diancam pihak luar.
KUALA LUMPUR – Kerajaan disaran memperkukuhkan semula peranan Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam menghadapi cabaran keselamatan negara yang semakin mencabar, khususnya melibatkan geopolitik serantau.
Tan Sri Dr Rais Yatim berkata Malaysia kini dilihat berada dalam kedudukan yang semakin bergantung kepada kuasa luar, dan ia menimbulkan kebimbangan terhadap kedaulatan serta keselamatan jangka panjang negara.
“Apabila sesebuah negara luar menjadi terlalu besar dan kuat, kita cenderung untuk tidak berani menyatakan pendirian secara berterus terang. Dahulu kita terlalu akur kepada Amerika Syarikat, dan kini pengaruh China pula semakin ketara dalam pelbagai aspek termasuk ekonomi dan keselamatan maritim,” katanya.
“China bukan sahaja memonopoli Laut China Selatan, malah pengaruhnya dalam sektor ekonomi kita juga semakin mendalam. Barangan mereka memasuki negara kita tanpa banyak halangan, seolah-olah bebas daripada kawalan. Ini satu gambaran yang sangat melemahkan kita buat masa depan.
“Dengan itu negara mesti perkasakan balik Special Branch (Cawangan Khas) itu supaya berkebolehan memecahkan sesuatu pakatan sebelum ia menjadi pakatan besar. Sekarang saya nampak perkara ini tak berlaku,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam temu bual eksklusif bersama Finaz Yunus dalam program Analisis terbitan The Merdeka Times baru-baru ini.
Mengimbas kembali pengalamannya semasa bertugas di bawah Allahyarham Tun Ghazali Shafie semasa di Kementerian Dalam Negeri, beliau menyatakan bahawa kejayaan keselamatan negara suatu ketika dahulu banyak bergantung kepada keberkesanan operasi Cawangan Khas yang memainkan peranan utama dalam mengekang ancaman dan jenayah terancang.
“Ketika itu, kita ada sistem dikenali sebagai *cokmar*, di mana semua pihak dalam keselamatan tahu peranan dan tindakan yang perlu diambil. Cokmar itu pula bermaksud mempunyai kuasa.
“Kita siasat orang-orang gangster, kumpulan-kumpulan penjahat serta komunis. Apa mereka buat, Apa mereka nak buat dan apa kita kena buat. Oleh itu, setiap pegawai Cawangan Khas sangat terlatih, serta berpengetahuan tinggi,” ujarnya.
Beliau menegaskan, jika usaha memperkukuhkan keselamatan dalam negara tidak diberi keutamaan, kemungkinan besar institusi keselamatan serta kedaulatan negara diancam pihak luar.
“Jika ancaman seperti komunis ini semakin kuat, pihak keselamatan juga terancam, saya bercakap secara terus terang kerana saya tidak mempunyai apa-apa untuk disembunyikan.
“Ini negara saya, dan saya telah berkhidmat lebih 50 tahun demi mempertahankannya. Sudah tiba masanya kita kembali ke pangkal jalan,” katanya dengan tegas. – The Merdeka Times