Terkini
Penggunaan ‘child seat’ masih belum memuaskan
- Tahap penerimaan dan pemakaian Kerusi Keselamatan Kanak-Kanak (CRS) masih belum mencapai tahap yang memuaskan – Ketua Pusat Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya, Fakulti Kejuruteraan UPM, Profesor Madya Dr Law Teik Hua
- Teik Hua turut menyentuh tentang realiti teknikal yang dihadapi oleh sebahagian keluarga, khususnya yang mempunyai lebih daripada satu anak kecil.
- “Kekangan ruang dalam kenderaan serta keperluan kerusi keselamatan yang berbeza mengikut umur dan saiz anak menjadi antara cabaran utama.Ada keluarga yang ada tiga anak kecil, tapi kereta tak muat untuk tiga kerusi berlainan, mungkin ini isu teknikal yang perlu kita fikir secara serius,” jelasnya.
KUALA LUMPUR – Walaupun kesedaran dalam kalangan ibu bapa terhadap kepentingan penggunaan Kerusi Keselamatan Kanak-Kanak (CRS) dilihat semakin meningkat, tahap penerimaan dan pemakaiannya masih belum mencapai tahap yang memuaskan.
Ketua Pusat Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya, Fakulti Kejuruteraan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr Law Teik Hua menegaskan ibu bapa seharusnya memiliki sifat tanggungjawab bagi memastikan keselamatan anak-anak terjamin di dalam kenderaan.
“Ibu bapa seharusnya memainkan peranan penting dan bersifat tanggungjawab di dalam memastikan keselamatan anak-anak di dalam kenderaan, oleh itu penggunaan CRS seharusnya dianggap sebagai antara langkah keselamatan buat anak-anak.
“Walaubagaimanapun, jangan disangka bila kita letak bayi dalam CRS, maka semuanya sudah okay, ia bukan jaminan sepenuhnya untuk selamat namun sekurang-kurangnya, ada peluang untuk bayi itu selamat berbanding kalau langsung tidak menggunakannya,” katanya ketika dihubungi The Merdeka Times hari ini.
Beliau mengulas mengenai kenyataan yang dibuat oleh Kementerian Pengangkutan, Anthony Loke memaklumkan ketiadaan penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak (child seat) antara punca menyebabkan seorang bayi maut dalam kemalangan di Plaza Tol Bukit Kajang, baru-baru ini.
Terdahulu, media melaporkan seorang bayi lelaki berusia 12 bulan maut manakala lapan lagi cedera dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di Plaza Tol Bukit Kajang pada Sabtu lepas.
Dalam kejadian itu, kemalangan melibatkan sebuah lori tiga tan yang membawa barangan lusuh, kenderaan pacuan empat roda jenis Nissan X-Trail milik Jabatan Kerja Raya (JKR), sebuah kereta jenis Honda City dan Proton X70.
Sementara itu, Teik Hua turut menyentuh tentang realiti teknikal yang dihadapi oleh sebahagian keluarga, khususnya yang mempunyai lebih daripada satu anak kecil.
“Kekangan ruang dalam kenderaan serta keperluan kerusi keselamatan yang berbeza mengikut umur dan saiz anak menjadi antara cabaran utama.
“Ada keluarga yang ada tiga anak kecil, tapi kereta tak muat untuk tiga kerusi berlainan, mungkin ini isu teknikal yang perlu kita fikir secara serius,” jelasnya.
Beliau menyimpulkan bahawa isu ini bukan soal salah siapa, tetapi lebih kepada mencari penyelesaian jangka panjang melalui pendekatan yang menyeluruh, melibatkan polisi, teknikal, pendidikan dan kemampuan keluarga.
Dalam pada itu, Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) berkata kajian pihaknya mendapati tahap penggunaan CRS di Malaysia adalah sekitar 30 peratus sahaja pada tahun 2022 walaupun diwajibkan sejak 1 Januari 2020.
Menurut Miros, pemakaian CRS merupakan langkah penting untuk melindungi kanak-kanak dalam sebarang kemalangan.
Miros berkata, berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia bagi tempoh 10 tahun (2014 hingga 2023), purata kanak-kanak maut akibat kemalangan jalan raya adalah seramai 434 orang setahun. – The Merdeka Times.