Connect with us

Terkini

Pengedar Cina, India, Melayu : Dadah kini jadi masalah nasional ‘Satu Malaysia’ – Zahid

Published

on

Foto: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi
  • “Dalam jenayah penyalahgunaan dadah ini, ia benar-benar bersifat satu Malaysia. Pengedar yang besar orang Cina, pengedar secara tersusun orang India, manakala pengedar runcit orang Melayu,” katanya dalam satu temu bual khas bersama Bernama baru-baru ini.
  • Beliau memaklumkan kadar penagihan meningkat daripada 436 penagih bagi setiap 100,000 penduduk pada 2023 kepada 586 pada 2024. Malah, setakat Jun tahun ini sahaja, statistik menunjukkan terdapat 396 penagih bagi setiap 100,000 penduduk.

 

PUTRAJAYA – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan isu penagihan dan pengedaran dadah di Malaysia tidak mengenal kaum, malah telah menjadi masalah nasional yang “benar-benar bersifat satu Malaysia”.

Beliau berkata, berdasarkan maklumat yang diterima, pengedaran dadah melibatkan pelbagai kelompok dengan sindiket besar dikuasai oleh masyarakat Cina, rangkaian terancang melibatkan individu India, manakala pengedaran runcit pula banyak dilakukan oleh orang Melayu.

“Dalam jenayah penyalahgunaan dadah ini, ia benar-benar bersifat satu Malaysia. Pengedar yang besar orang Cina, pengedar secara tersusun orang India, manakala pengedar runcit orang Melayu,” katanya dalam satu temu bual khas bersama Bernama baru-baru ini.

Menurut Zahid, masalah ini menuntut kerjasama semua pihak tanpa mengira kaum atau agama kerana gejala dadah kini berada pada tahap kritikal, dengan peningkatan 32.5 peratus pada 2024 berbanding tahun sebelumnya.

Beliau memaklumkan kadar penagihan meningkat daripada 436 penagih bagi setiap 100,000 penduduk pada 2023 kepada 586 pada 2024. Malah, setakat Jun tahun ini sahaja, statistik menunjukkan terdapat 396 penagih bagi setiap 100,000 penduduk.

Selain itu, negeri yang merekodkan kadar penagihan tertinggi ialah Kelantan, Terengganu, Perlis dan Kedah.

Zahid berkata, antara punca ketagihan awal dalam kalangan kanak-kanak seawal usia 10 tahun adalah taktik pengedar yang menyamar dengan memberi gula-gula bercampur dadah secara percuma.

“Perkara ini saya telah bincangkan dengan Kementerian Pendidikan (KPM) dan di peringkat prasekolah. Kita perlu bendung dengan kerjasama guru, ibu bapa dan masyarakat keseluruhan,” ujarnya.

Beliau turut menggesa Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan pihak penguatkuasaan lain agar lebih kreatif dalam membanteras penyeludupan dadah, termasuk taktik baharu menggunakan perkhidmatan penghantaran dalam talian.

“Kadang-kadang kita lihat pembukusannya seolah-olah barang beli online, tapi isinya dadah. Mereka sangat kreatif, dan kita mesti lebih kreatif daripada mereka,” katanya.

Bagi memperkukuh akauntabiliti, Zahid berkata AADK kini digerakkan melalui KPI tahunan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan sedang merangka pelan baharu 2026-2030 selepas berakhirnya Pelan Strategik KDN 2020-2025.

Beliau menekankan keberhasilan perang melawan dadah akan diukur melalui Indeks Antidadah, kadar kepulihan klien, peluang pekerjaan kepada bekas penagih, tahap kesedaran masyarakat menerusi Community Empowerment Recovery Index (CERI), serta sokongan jabatan kerajaan, komuniti dan NGO. -The Merdeka Times

 

 

 

 

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author