Connect with us

Terkini

Pemuda MCA desak Anthony Loke tegas tangani pemandu mabuk

Published

on

Foto: Ketua Penerangan Pemuda MCA, Neow Choo Seong (kanan) dan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke (kiri).
  • Dalam kejadian di Melaka itu, sebuah pikap dipercayai dipandu dalam keadaan mabuk hilang kawalan sebelum merempuh lima kenderaan yang berhenti di persimpangan lampu isyarat.
  • “Kerajaan perlu benar-benar dilihat serius memerangi gejala pemanduan mabuk, pemanduan di bawah pengaruh dadah serta pemanduan berbahaya,” – Ketua Penerangan Pemuda MCA

 

KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan Pemuda MCA mendesak Menteri Pengangkutan, Anthony Loke agar mengambil tindakan lebih tegas berhubung kes pemandu mabuk yang terus berulang, susulan insiden terbaharu di Melaka minggu lalu.

Dalam kejadian itu, sebuah pikap dipercayai dipandu dalam keadaan mabuk hilang kawalan sebelum merempuh lima kenderaan yang berhenti di persimpangan lampu isyarat.

Insiden tersebut sekali lagi mencetuskan kebimbangan mengenai keberkesanan undang-undang sedia ada dalam menangani isu pemanduan di bawah pengaruh alkohol atau dadah (DUI).

Neow Choo Seong berkata, Kementerian Pengangkutan bersama Kementerian Dalam Negeri perlu memastikan pelaksanaan sepenuhnya pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333), khususnya Seksyen 43, 44 dan 45.

Seksyen 43 merujuk kesalahan memandu secara tidak cermat, Seksyen 44 berkaitan memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah, manakala Seksyen 45 pula berkaitan menjaga kenderaan dalam keadaan mabuk atau dipengaruhi dadah.

Beliau mengingatkan bahawa pindaan Akta 333 pada 2020 ketika era Menteri Pengangkutan terdahulu, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, sudah pun memperketatkan hukuman dengan meningkatkan penjara maksimum daripada 15 tahun ke 20 tahun serta menaikkan denda maksimum daripada RM6,000 kepada RM150,000.

Pindaan itu turut memperkenalkan perbezaan hukuman antara pemandu mabuk yang menyebabkan kemalangan dan mereka yang menyebabkan kematian.

“Kerajaan perlu benar-benar dilihat serius memerangi gejala pemanduan mabuk, pemanduan di bawah pengaruh dadah serta pemanduan berbahaya,” tegas Neow.

Pada masa sama, beliau menekankan bahawa pengurangan kemalangan jalan raya tidak boleh hanya bergantung pada hukuman semata-mata, tetapi memerlukan pendidikan, advokasi dan kesedaran awam yang berterusan.

Katanya, kempen kesedaran yang pernah dilaksanakan sebelum ini perlu dipergiat, termasuk di peringkat sekolah, agar lahir generasi pemandu yang lebih peka, berhemah dan bertanggungjawab pada masa hadapan.-The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author