Terkini
Majlis Media Malaysia kecam kompaun RM100,000 MCMC ke atas Sin Chew, Karangkraf
- “Penalti yang berlebihan ini berisiko mewujudkan suasana ketakutan serta mendorong amalan swa-penapisan dalam kalangan wartawan dan editor, sekali gus melemahkan tanggungjawab utama media untuk memaklumkan orang ramai dan memegang pihak berkuasa supaya bertanggungjawab,” jelas kenyataan itu.
- MMM turut mengakui mandat MCMC di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, namun menegaskan penguatkuasaan undang-undang mesti dilakukan secara adil dan seimbang.
KUALA LUMPUR – Majlis Media Malaysia (MMM) menyuarakan kebimbangan serius terhadap tindakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) yang mengenakan kompaun RM100,000 ke atas Sin Chew Media Corporation Berhad dan Sinar Karangkraf Sdn. Bhd. baru-baru ini.
Dalam satu kenyataan, MMM mengakui kepentingan ketepatan berita serta keperluan menghormati simbol negara, namun menegaskan denda yang dikenakan adalah terlalu berat dan tidak seimbang dengan kesalahan yang didakwa.
“Penalti yang berlebihan ini berisiko mewujudkan suasana ketakutan serta mendorong amalan swa-penapisan dalam kalangan wartawan dan editor, sekali gus melemahkan tanggungjawab utama media untuk memaklumkan orang ramai dan memegang pihak berkuasa supaya bertanggungjawab,” jelas kenyataan itu.

Foto: Kenyataan Majlis Media Malaysia (MMM).
MMM turut mengakui mandat MCMC di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, namun menegaskan penguatkuasaan undang-undang mesti dilakukan secara adil dan seimbang.
Kesilapan tidak disengajakan seharusnya ditangani dengan langkah pembetulan yang wajar, bukan melalui hukuman yang boleh mengancam kelangsungan organisasi media dan mengehadkan kepelbagaian suara dalam ekosistem media negara.
Kenyataan itu menambah, industri media Malaysia kini sedang berdepan perubahan teknologi pesat termasuk penggunaan kecerdasan buatan (AI) dan alat digital lain dalam pengumpulan, pengesahan serta penyampaian berita.
“Tindakan hukuman yang keterlaluan hanya menambah ketidakpastian dan boleh menghalang bilik berita daripada mencuba serta berinovasi dengan teknologi baharu, yang akhirnya merugikan pembangunan landskap media yang lebih dinamik,” kata MMM.
Sehubungan itu, MMM menggesa agar wujud kerjasama membina antara MCMC, Kementerian Dalam Negeri, organisasi media serta Majlis Media sendiri untuk merangka garis panduan lebih jelas dan rangka kerja telus bagi menangani isu-isu seumpama ini.
“Matlamat bersama mesti memastikan integriti kewartawanan dan hak rakyat untuk mendapat maklumat sentiasa terpelihara, pada masa yang sama memberi ruang kepada media untuk berkembang, menyesuaikan diri dan berinovasi,” tambah kenyataan tersebut.
MMM menegaskan pihaknya komited bekerjasama dengan semua pihak berkepentingan demi menjunjung kewartawanan bertanggungjawab dan mempertahankan kebebasan media sebagai salah satu tonggak penting demokrasi di Malaysia. – The Merdeka Times