Terkini
Lebih 50,000 kes kanser setiap tahun, majoriti tahap akhir – Menteri
- “Ini sebabnya kami menekankan Inisiatif Saringan Kesihatan Nasional. Matlamatnya supaya rakyat menjalani pemeriksaan awal agar penyakit dapat dikesan lebih cepat. Sasaran kami adalah lebih sejuta saringan.” – Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dzulkefly Ahmad
- Kanser payudara, kolorektal, paru-paru dan prostat merupakan antara jenis paling lazim di Malaysia
KUALA LUMPUR – Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dzulkefly Ahmad menggesa rakyat Malaysia untuk memberi keutamaan kepada saringan kesihatan secara berkala, susulan cabaran besar yang dihadapi negara apabila kebanyakan kes kanser hanya dikesan pada peringkat lewat.
Menurut beliau, Malaysia merekodkan lebih 50,000 kes baharu kanser setiap tahun, dengan majoritinya dikenal pasti pada tahap tiga atau empat, sekali gus mengehadkan pilihan rawatan dan mengurangkan keberkesanan pemulihan.
“Lebih 50,000 kes baharu kanser dikesan setiap tahun dan kebanyakannya sudah berada di tahap tiga atau empat. Pada ketika itu, ia sudah terlalu lewat,” katanya seperti dipetik Free Malaysia Today (FMT).
Dzulkefly menegaskan, kelewatan pengesanan bukan sahaja memberi kesan terhadap peluang rawatan tetapi turut menimbulkan beban kewangan besar kepada keluarga pesakit.
“Bayangkan jika ahli keluarga anda disahkan menghidap kanser, beban kewangan sahaja sudah cukup berat,” katanya.
Beliau memaklumkan, Kementerian Kesihatan sedang bekerjasama dengan Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM) serta beberapa NGO untuk melancarkan program saringan kesihatan berskala nasional.
“Ini sebabnya kami menekankan Inisiatif Saringan Kesihatan Nasional. Matlamatnya supaya rakyat menjalani pemeriksaan awal agar penyakit dapat dikesan lebih cepat. Sasaran kami adalah lebih sejuta saringan,” jelasnya.
Dzulkefly berkata, kanser payudara, kolorektal, paru-paru dan prostat merupakan antara jenis paling lazim di Malaysia. -The Merdeka Times