Terkini
Kampung Sungai Baru mesti kekal milik Melayu, Pemaju perlu hormati sejarah tanah – Johari Ghani
- Tanah Kampung Sungai Baru diberi oleh Sultan Selangor kepada orang Melayu semasa zaman British.
- Johari Ghani mahu pembangunan hanya untuk Melayu dan rumah mestilah mampu milik.
- Pemaju dikecam kerana guna akta pengambilan paksa terhadap penduduk enggan keluar.
- Johari akan bertemu Perdana Menteri untuk bawa isu ke peringkat tertinggi.
KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani menegaskan bahawa pembangunan semula Kampung Sungai Baru hanya boleh diteruskan jika kediaman yang dibina nanti kekal dimiliki oleh orang Melayu, selaras dengan sejarah dan status asal tanah tersebut.
Beliau berkata, kawasan berkeluasan 3.19 hektar itu merupakan tanah milik orang Melayu yang diperuntukkan oleh Sultan Selangor semasa era penjajahan British, dan sebarang pembangunan semula perlu menghormati warisan tersebut.
“Tanah ini adalah tanah Melayu, diberi oleh Sultan kepada orang Melayu. Maka, hanya orang Melayu yang boleh beli. Jika tiada pembeli Melayu, pemaju perlu tunggu hingga ada orang Melayu mampu beli,” katanya kepada media Berita Harian semalam .
Johari turut menyatakan kebimbangan terhadap kemampuan penduduk asal yang majoritinya Melayu untuk memiliki kediaman di unit perumahan baharu.
“Pemaju mesti pastikan rumah yang dibina mampu dimiliki oleh orang Melayu, agar mereka dapat terus tinggal dan membina kehidupan bersama keluarga di kawasan ini,” tambahnya.
Dalam perkembangan berkaitan, Johari turut mengecam tindakan pemaju menggunakan pengambilalihan secara paksa terhadap 14 pemilik rumah yang masih enggan berpindah, dan menyifatkan langkah itu sebagai tidak bertanggungjawab.
“Apabila kerajaan terdahulu ambil alih kawasan ini, tidak ada dalam kalangan mereka yang melihat isu pengusiran penduduk di situ beramai-ramai oleh pemaju.
“Jadi ini yang berlaku sekarang, di mana pemaju tidak bertanggungjawab melihat kepentingan orang Melayu secara keseluruhannya di tanah yang sememangnya untuk orang Melayu,” tegasnya.
Sebagai langkah susulan, Johari memaklumkan bahawa beliau akan mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa, bagi memastikan sebarang pembangunan di kawasan itu diperuntukkan khas untuk pemilikan Melayu sahaja.-The Merdeka Times