Connect with us

Terkini

Isu potong elaun MP: Dr. Akmal usah melenting hingga kelihatan dangkal – Penganalisis politik

Published

on

Foto: Pensyarah Kanan Jabatan Sains Politik Universiti Malaya, Dr Mohammad Tawfik Yaakub
  • Pensyarah Kanan Jabatan Sains Politik Universiti Malaya, Dr Mohammad Tawfik Yaakub, berkata Dr. Akmal perlu mengutamakan tugas berkhidmat kepada rakyat sepatutnya dan tidak melenting dengan sebarang kenyataan sehingga memperlihatkan kedangkalan terhadap tanggungjawab sebagai wakil rakyat.
  • Menurutnya, seseorang individu menyertai politik dan diberi mandat sebagai wakil rakyat, keutamaan utama perlu diberikan kepada tugas hakiki untuk berkhidmat kepada rakyat, bukan lagi kepada pencapaian lalu dalam profesion terdahulu.

 

KUALA LUMPUR – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau, Dr. Muhammad Akmal Saleh dilihat terbawa-bawa dengan kejayaannya dalam bidang perubatan, sebelum ini hingga dikatakan kurang memahami peranan serta tanggungjawab sebagai seorang wakil rakyat.

Pensyarah Kanan Jabatan Sains Politik Universiti Malaya, Dr Mohammad Tawfik Yaakub berkata apabila seseorang individu menyertai politik dan diberi mandat sebagai wakil rakyat, keutamaan utama perlu diberikan kepada tugas hakiki untuk berkhidmat kepada rakyat, bukan lagi kepada pencapaian lalu dalam profesion terdahulu.

“Bagi saya, beliau terbawa-bawa dengan kejayaan beliau sebelum ini sebagai seorang ahli perubatan dan beliau mungkin lupa bahawa kini mempunyai tugas sebagai seorang wakil rakyat.

“Dr. Akmal perlu mengutamakan tugas berkhidmat kepada rakyat sepatutnya dan jangan kita melenting atau melompat dengan sebarang kenyataan sehingga memperlihatkan kedangkalan kita terhadap tanggungjawab sebagai wakil rakyat,” katanya ketika dihubungi The Merdeka Times.

Beliau mengulas mengenai kenyataan yang dibuat oleh Ketua Pemuda UMNO tersebut yang mengkritik Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul agar merasai sendiri kerja bertugas atas panggilan atau ‘oncall’ di hospital.

Teguran berkenaan dilontarkan Muhammad Akmal selepas Johari mengeluarkan kenyataan menolak cadangan pemotongan gaji Ahli Parlimen sebanyak 50 peratus bagi membiayai kenaikan elaun bertugas atas panggilan para doktor.

Menurut Mohammad Tawfik, adalah tidak wajar untuk mengkritik profesion lain semata-mata untuk menonjolkan diri sebagai seorang “hero”.

“Jika hendak membuat perbandingan antara profesion doktor dan wakil rakyat ia dilihat tidak memberi manfaat besar kepada rakyat.

“Kalau beliau mahu jadi doktor yang duduk di klinik bagi merawat dan mengikut permintaan pesakit, teruskan tetapi apabila menjadi wakil rakyat, tugasnya jauh lebih mencabar serta luas.

“Ahli Parlimen bukan hanya hadir di Parlimen, tetapi berkhidmat siang malam, bertemu rakyat, melawat kawasan, malah ada yang terlibat dalam kemalangan dan kehilangan nyawa semasa menjalankan tugas,” ujarnya.

Dalam pada itu, Mohammad Tawfik turut menegur tindakan sesetengah pihak yang terburu-buru mengulas kenyataan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul tanpa terlebih dahulu mendapatkan penjelasan penuh.

“Perbincangan itu penting, tetapi jangan terlalu cepat melatah dengan kenyataan seorang Speaker seolah-olah ia sesuatu yang mutlak.

“Pihak-pihak tertentu seharusnya mendapatkan penjelasan dahulu sebelum membuat kenyataan umum yang boleh menjejaskan imej institusi Parlimen,” katanya.

Beliau menyarankan semua pihak, terutama yang berpengaruh dan mempunyai kedudukan dalam masyarakat, agar lebih berhemah dan matang dalam membuat kenyataan serta tidak menghangatkan keadaan dengan reaksi yang tergesa-gesa.  – The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author