Terkini
Gaji naik perlahan tapi harga rumah melambung, anak muda, B40 terpinggir
- Menurut penganalisis hartanah Universiti Malaya Wales, Prof Dr Noor Rosly Hanif, krisis pemilikan rumah di Malaysia berpunca daripada gaji yang rendah serta kadar kenaikan gaji tahunan yang jauh lebih perlahan berbanding lonjakan harga rumah dan kos hidup.
- “Gaji yang rendah menyebabkan semakin ramai rakyat, khususnya golongan muda dan B40, tidak mampu memiliki rumah walaupun ditawarkan pelbagai skim bantuan dan subsidi.”
- “Jika kerajaan dapat mengawal kadar kenaikan tahunan harga rumah dan kos sara hidup agar selari dengan kadar kenaikan gaji rakyat, isu pemilikan rumah ini sedikit sebanyak boleh membantu,” katanya.
KUALA LUMPUR — Krisis pemilikan rumah di Malaysia semakin meruncing apabila gaji rakyat yang statik gagal menyaingi lonjakan harga hartanah dan kos sara hidup, sekali gus menutup peluang golongan muda dan B40 memiliki kediaman sendiri.
Penganalisis menegaskan, selagi kerajaan dan pemaju tidak menangani ketidakseimbangan ini, golongan muda dan B40 akan kekal terpinggir daripada memiliki rumah walaupun pelbagai skim bantuan diperkenalkan kerajaan.
“Gaji yang rendah menyebabkan semakin ramai rakyat, khususnya golongan muda dan B40, tidak mampu memiliki rumah walaupun ditawarkan pelbagai skim bantuan dan subsidi.
“Jika kerajaan dapat mengawal kadar kenaikan tahunan harga rumah dan kos sara hidup agar selari dengan kadar kenaikan gaji rakyat, isu pemilikan rumah ini sedikit sebanyak boleh membantu,” katanya ketika dihubungi The Merdeka Times.
Beliau turut mencadangkan agar kerajaan meneliti pendekatan beberapa negara Timur Tengah yang memperkenalkan dasar jaminan satu rumah untuk setiap keluarga, untuk dijadikan panduan jika boleh dilaksanakan di Malaysia.
Dalam pada itu, Noor Rosly menegaskan pemaju sepatutnya meletakkan harga rumah mampu milik mengikut realiti pendapatan orang ramai serta pasaran semasa.
Beliau berpandangan, keuntungan yang diperoleh daripada projek perumahan mewah atau pelaburan boleh digunakan untuk menampung kos pembinaan rumah mampu milik bagi rakyat berpendapatan rendah, sekali gus menjadikan ekosistem perumahan lebih adil dan mampan.
“Isu perumahan kekal menjadi salah satu cabaran utama dalam pembangunan negara, justeru, keseimbangan antara dasar ekonomi serta kebajikan rakyat haruslah menjadi tonggak utama dalam merangka solusi jangka panjang yang menyeluruh. – The Merdeka Times