Terkini
Datuk Johari ketuai Pasukan Khas UMNO bagi tambah baik RUU PSB
- Pasukan khas tersebut bertanggungjawab meneliti dan memperhalusi setiap aspek RUU PSB secara terperinci sebelum dibentangkan dalam Konvensyen Melayu Bandar.
- Konvensyen Melayu Bandar ini bakal melibatkan kepimpinan tertinggi UMNO daripada Negeri-Negeri dan Bahagian-Bahagian seluruh Malaysia.
- Resolusi Konvensyen Melayu Bandar kelak akan diserahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
KUALA LUMPUR – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, dilantik untuk mengetuai Pasukan Khas UMNO bagi penambahbaikan Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB).
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata pasukan khas tersebut bertanggungjawab meneliti dan memperhalusi setiap aspek RUU PSB secara terperinci sebelum dibentangkan dalam Konvensyen Melayu Bandar.
“Konvensyen Melayu Bandar ini bakal melibatkan kepimpinan tertinggi UMNO daripada Negeri-Negeri dan Bahagian-Bahagian seluruh Malaysia.
“Selain itu, turut terlibat sama parti-parti politik Melayu, Pertubuhan-Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), Ahli-Ahli Akademik dan masyarakat sivil yang akan diadakan pada penghujung bulan September,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jelasnya, resolusi Konvensyen Melayu Bandar kelak akan diserahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Baru-baru ini media melaporkan, perbahasan dan pengundian RUU PSB 2025 ditunda ke sidang Dewan Rakyat akan datang yang dijadual berlangsung pada Oktober ini.
RUU itu berdepan penolakan kuat daripada pelbagai pihak khususnya daripada wakil rakyat pembangkang termasuk beberapa Ahli Parlimen kerajaan daripada BN dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) sendiri. – The Merdeka Times.