Politik
DAPSY terdesak, Warisi politik lapuk ‘fearmongering’ – Pemuda PAS
- Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Mohd Hafez Sabri berkata, DAPSY tidak perlu bersikap batu api dengan cuba melaga-lagakan pihak yang ikhlas memperjuangkan agama, bangsa dan tanah air.
- Katanya, tindakan itu hanya menyerlahkan keadaan DAP yang terdesak mempertahankan agenda mereka di sebalik isu pelaksanaan Akta Pembaharuan Semula Bandar (URA).
- Beliau turut menempelak tindakan DAP yang mendakwa parti itu progresif dan demokratik tetapi dalam masa sama melabel rakyat dengan istilah negatif hanya kerana berbeza pandangan.
Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) menyifatkan kenyataan DAP Socialist Youth (DAPSY) terhadap Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Akmal Saleh sebagai cerminan ketakutan dan keresahan DAP yang semakin kehilangan sokongan rakan politiknya.
Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Mohd Hafez Sabri berkata, DAPSY tidak perlu bersikap batu api dengan cuba melaga-lagakan pihak yang ikhlas memperjuangkan agama, bangsa dan tanah air.
Katanya, tindakan itu hanya menyerlahkan keadaan DAP yang terdesak mempertahankan agenda mereka di sebalik isu pelaksanaan Akta Pembaharuan Semula Bandar (URA).
“Rakyat kini matang dan mampu menilai siapa yang sebenarnya meraih keuntungan berganda dan siapa pula yang menanggung kerugian akibat dasar kerajaan seperti URA,” katanya dalam satu kenyataan media semalam.
Menurut beliau, dangkal untuk setiap kritikan terhadap dasar kerajaan seperti URA terus dilabel sebagai cubaan mengeksploitasi isu perkauman atau menyemai kebencian.
Sebaliknya, bantahan terhadap URA adalah perjuangan untuk membela hak dan harta rakyat yang sah.
Beliau turut menempelak tindakan DAP yang mendakwa parti itu progresif dan demokratik tetapi dalam masa sama melabel rakyat dengan istilah negatif hanya kerana berbeza pandangan.
“Lebih mengecewakan apabila kenyataan pemimpin muda DAP sendiri dilihat terjangkit dengan sikap ‘tone deaf’ yang sama seperti Menteri KPKT, Nga Kor Ming, yang gagal memahami keresahan rakyat,” katanya.
Hafez menambah, keresahan generasi muda hari ini jelas berkisar kepada kebimbangan mereka terhadap masa depan dan kemampuan memiliki rumah, bukannya semata-mata retorik politik.
Katanya, lambakan projek perumahan mewah hasil eksploitasi pemaju kapitalis langsung tidak sepadan dengan pendapatan rakyat biasa, sekali gus menolak mereka keluar daripada bandar.
“Perjuangan membantah URA bukanlah isu politik sempit, tetapi soal menegakkan keadilan, menjaga maruah rakyat, dan memastikan tanah serta harta milik rakyat tidak tergadai kepada kapitalis berkepentingan,” tegasnya.
Beliau menutup kenyataan dengan menegaskan bahawa naratif sebenar perjuangan rakyat perlu difahami tanpa dimanipulasi dengan sandiwara politik sempit seperti yang cuba digambarkan oleh DAPSY. -The Merdeka Times