Connect with us

Terkini

BUDI95: Kuota 300 liter ‘lebih dari cukup’ – Penganalisis

Published

on

Foto: Gambar Sekadar Hiasan
  • Menurut laporan CGS International, had tersebut dianggap sangat bermurah hati, dan dijangka tidak akan menjejaskan corak pemanduan harian kebanyakan pengguna.
  • Sebagai contoh, seorang individu yang memandu Toyota Corolla dari Seremban ke KLCC setiap hari bekerja dengan jarak perjalanan harian sekitar 136 kilometer hanya menggunakan kira-kira 242 liter petrol sebulan.
  • Langkah pengesahan identiti melalui MyKad atau aplikasi bukan bertujuan mengehadkan penggunaan rakyat, tetapi untuk memastikan subsidi hanya dinikmati oleh warganegara dan tidak disalahgunakan oleh warga asing.

KUALA LUMPUR – Kuota bulanan sebanyak 300 liter petrol RON95 bersubsidi yang akan diperkenalkan mulai 30 September ini disifatkan sebagai lebih daripada mencukupi untuk kegunaan majoriti rakyat Malaysia.

Menurut nota penyelidikan dalam laporan CGS International yang dipetik Berita Harian, had tersebut dianggap sangat bermurah hati, dan dijangka tidak akan menjejaskan corak pemanduan harian kebanyakan pengguna.

Sebagai contoh, seorang individu yang memandu Toyota Corolla dari Seremban ke KLCC setiap hari bekerja dengan jarak perjalanan harian sekitar 136 kilometer hanya menggunakan kira-kira 242 liter petrol sebulan. Ini masih jauh di bawah had kuota 300 liter yang ditetapkan.

Kerajaan sebelum ini mengumumkan bahawa semua warganegara Malaysia berumur 16 tahun ke atas dan memiliki lesen memandu sah layak menikmati harga subsidi RON95 pada RM1.99 seliter, sehingga had 300 liter sebulan.

Untuk mendapatkan subsidi ini, pengguna hanya perlu menunjukkan MyKad semasa pembayaran atau mengesahkan identiti melalui aplikasi mudah alih yang mengambil bahagian.

Jika penggunaan melebihi 300 liter sebulan, lebihan itu akan dikenakan harga pasaran semasa, iaitu sekitar RM2.60 seliter.

Kerajaan turut memberikan kelonggaran kepada pemandu perkhidmatan e-hailing, yang tidak tertakluk kepada kuota 300 liter. Mereka boleh memohon peruntukan tambahan bagi memastikan pendapatan mereka tidak terjejas.

Langkah pengesahan identiti melalui MyKad atau aplikasi bukan bertujuan mengehadkan penggunaan rakyat, tetapi untuk memastikan subsidi hanya dinikmati oleh warganegara dan tidak disalahgunakan oleh warga asing.

Selain itu, kerajaan juga merancang untuk menggunakan sistem analitik pada masa depan bagi mengesan sebarang penyalahgunaan kuota, seperti menjual petrol bersubsidi kepada pihak tidak layak.

Langkah pengenalan kuota ini dilihat mencukupi buat semua orang yang menggunakan petrol secara normal selain memberikan manfaat subsidi kepada warga negara tanpa membebankan pengguna biasa. – The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author