Connect with us

Terkini

Bot pancung rempuh aset Maritim: Dua anggota cedera, Suspek loloskan diri

Published

on

Foto: Facebook Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia.
  • “Menyedari kehadiran aset penguat kuasa, bot pancung yang dilengkapi tiga enjin berkuasa tinggi bertindak agresif dengan merempuh sisi kiri bot operasi sehingga mengalami kerosakan teruk sebelum berjaya meloloskan diri. Dalam kejadian itu, seorang anggota cedera di bahagian hidung, manakala seorang lagi mengalami kecederaan pada kaki dan tangan akibat hentakan. Kedua-duanya dihantar ke Hospital Port Dickson untuk rawatan lanjut dan kini dilaporkan stabil.” – Kapten Maritim Salehuddin Zakaria

 

SEPANG – Dua anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Melaka dan Negeri Sembilan cedera selepas bot mereka dirempuh sebuah bot pancung yang disyaki membawa pendatang asing tanpa izin (PATI) berhampiran sempadan perairan Negeri Sembilan, Selasa lalu.

Pengarah Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan, Kapten Maritim Salehuddin Zakaria berkata, kejadian berlaku selepas Sistem Pengawasan Laut (SWASLA) Lumut mengesan sebuah bot mencurigakan pada jam 8.00 malam di kawasan Skim Pemisahan Trafik (TSS) yang dipercayai menuju masuk ke perairan Tanjung Rhu, Sepang.

Susulan itu, aset bot ronda Maritim Malaysia yang sedang melaksanakan rondaan Op Patkor Optima digerakkan untuk memintas bot terbabit.

Foto: Facebook Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia.

“Menyedari kehadiran aset penguat kuasa, bot pancung yang dilengkapi tiga enjin berkuasa tinggi bertindak agresif dengan merempuh sisi kiri bot operasi sehingga mengalami kerosakan teruk sebelum berjaya meloloskan diri.

Foto: Facebook Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia.

“Dalam kejadian itu, seorang anggota cedera di bahagian hidung, manakala seorang lagi mengalami kecederaan pada kaki dan tangan akibat hentakan. Kedua-duanya dihantar ke Hospital Port Dickson untuk rawatan lanjut dan kini dilaporkan stabil,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya lagi, bot pancung berkenaan dipercayai berpatah keluar dari perairan Malaysia selepas gagal melakukan pendaratan.

“Operasi pengesanan dan tindakan khas kini sedang giat dijalankan bagi menjejaki suspek serta rangkaian penyeludupan yang terlibat,” ujarnya.

Salehuddin menegaskan, Maritim Malaysia memandang serius cubaan penyeludupan manusia melalui laluan laut kerana ia bukan sahaja mengancam keselamatan negara, malah turut membahayakan nyawa PATI serta anggota penguat kuasa.

“Insiden ini sekali lagi membuktikan tugas sebagai anggota penguat kuasa maritim berisiko tinggi kerana sentiasa berhadapan ancaman secara langsung di laut, termasuk dirempuh dan berdepan kemungkinan kehilangan nyawa ketika menjalankan amanah negara,” tegasnya. – The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author