Terkini
Belajar dari isu Kampung Sungai Baru sebelum laksana RUU PSB 2025 – Johari Ghani
- Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, berkata RUU PSB 2025 perlu dikaji sepenuhnya agar tidak mendatangkan sebarang masalah kepada mana-mana pihak pada masa depan.
- “Isu Kampung Sungai Baru seharusnya menjadi pengajaran berguna sebelum melaksanakan RUU PSB 2025 ini. Perkara ini harus diteliti dan diselesaikan dengan baik,” katanya dalam Podcast Utama, Buletin TV3 semalam.
- Menurut beliau, kerajaan sebaiknya tidak menggunakan alasan pelaksanaan RUU PSB 2025 demi kepentingan awam.
KUALA LUMPUR – Kerajaan disaran untuk tidak tergesa-gesa melaksanakan Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB) 2025
Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, berkata RUU PSB 2025 perlu dikaji sepenuhnya agar tidak mendatangkan sebarang masalah kepada mana-mana pihak pada masa depan.
“Isu Kampung Sungai Baru seharusnya menjadi pengajaran berguna sebelum melaksanakan RUU PSB 2025 ini. Perkara ini harus diteliti dan diselesaikan dengan baik,” katanya dalam Podcast Utama, Buletin TV3 semalam.
Menurut beliau, kerajaan sebaiknya tidak menggunakan alasan pelaksanaan RUU PSB 2025 demi kepentingan awam.
“Jangan cuba campurkan pelaksanaan RUU PSB 2025 untuk tujuan kepentingan awam seperti pembinaan stesen Perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT) atau stesen Transit Aliran Ringan (LRT) serta pembinaan jalan raya kerana semua projek tersebut tiada masalah.
“Namun, projek PSB 2025 ini, ada nilai komersial, ia pasti akan ada manipulasi oleh pihak-pihak pemaju yang pastinya mahu mengaut keuntungan daripada projek mereka,” jelasnya.
Beliau yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi memberitahu dalam masa sama kerajaan juga perlu menyampaikan maklumat berkenaan RUU PSB 2025 dengan lebih berkesan agar masayrakat cakna mengenainya.
“Undang-undang nak ambil rumah orang nak buat baru, dengan itu terdapat banyak peraturan yang diperlukan untuk yakinkan kepada orang ramai.
“Kalau peraturan ini tiada serta masyarakat tidak jelas dengannya atau kerajaan mahu buat peraturan selepas RUU PSB 2025 terlaksana, ia tidak boleh terjadi, adalah lebih baik bincangkan dahulu dan masukkan semua perkara dalam lampiran undang-undang,” katanya.
Mengulas lanjut beliau berkata, kerajaan seharusnya menjadikan isu di Kampung Sungai Baru sebagai pengajaran bagi mengatasi masalah RUU PSB 2025 tersebut serta mewujudkan situasi menang-menang buat semua pihak.
“Jadikan isu Kampung Sungai Baru itu sebagai contoh, belajar daripada kesilapan, justeru masyarakat akan lebih peka dan fahami.
“Selain itu, perlu juga tengok dari segi konsep pembangunannya, apakah ia mewujudkan situasi menang-menang atau ia mewujudkan situasi menang kepada pemunya unit dan ‘triple win’ kepada pemaju, tidak boleh macam itu,” katanya. – The Merdeka Times