Antarabangsa
Ahli Parlimen Hulu Langat gesa isu tanah SMPC Pin Hwa tidak dipolitikkan
- Menurut Mohd Sany, Kerajaan Persekutuan memperuntukkan lebih RM60 bilion setiap tahun bagi memastikan sektor pendidikan terus diberi keutamaan.
- “Justeru, saya berharap agar isu pendidikan tidak dipolitikkan. Kita mahu semua masyarakat, tanpa mengira kaum dan bangsa, mendapat akses kepada pendidikan terbaik,” ujarnya.
- “Isu pendidikan adalah keperluan untuk masa depan anak-anak, tidak kira bangsa. Malaysia ialah sebuah negara berbilang kaum dan agama yang hidup harmoni, maka setiap pihak mempunyai tanggungjawab dan peranan masing-masing.” – Ketua Penerangan PH Selangor, Abbas Azmi
KUALA LUMPUR – Masyarakat digesa supaya tidak mempolitikkan isu pendidikan kerana ia melibatkan masa depan rakyat, bangsa dan negara.
Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd Sany Hamzan berkata, pendidikan adalah perkara asas yang tidak boleh dikompromi dan seharusnya bebas daripada pengaruh politik sempit.
“Ada beberapa perkara yang memang tidak boleh dikompromi, antaranya ialah pendidikan kerana ia merupakan masa depan anak bangsa serta negara. Jika boleh, elakkan daripada terus memainkan naratif politik dan perkauman dalam isu pendidikan,” katanya ketika dihubungi The Merdeka Times hari ini.
Menurut Mohd Sany, Kerajaan Persekutuan memperuntukkan lebih RM60 bilion setiap tahun bagi memastikan sektor pendidikan terus diberi keutamaan.
“Justeru, saya berharap agar isu pendidikan tidak dipolitikkan. Kita mahu semua masyarakat, tanpa mengira kaum dan bangsa, mendapat akses kepada pendidikan terbaik,” ujarnya.
Beliau turut menolak dakwaan berhubung penjualan atau penggadaian tanah di Selangor, dengan menegaskan bahawa semua proses berkaitan mesti mengikut lunas undang-undang.
“Tiada istilah penggadaian tanah kepada pihak tertentu. Malah, Pejabat Menteri Besar Selangor sudah menegaskan dakwaan yang tular di media sosial itu tidak benar dan berniat mengganggu-gugat keharmonian kaum di negeri ini,” tegasnya.
Isu ini mendapat perhatian selepas laporan China Press yang diterjemahkan pengguna Facebook, Rafizah Cian Lin, mengenai pertemuan bersejarah antara Persekutuan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) yang diketuai Pengerusinya, Tan Yew Sing, bersama Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.
Pertemuan selama satu jam di kediaman rasmi Menteri Besar itu, hasil usaha Exco Kerajaan Negeri, Ng Sze Han, berlangsung dalam suasana mesra dan produktif. Antara keputusan utama ialah kelulusan pemberian tanah baharu untuk membina cawangan Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) Pin Hwa, Klang sesuatu yang disifatkan Tan Yew Sing sebagai “jarang berlaku” di negara ini.
Pejabat Menteri Besar Selangor menjelaskan, pemberian tanah kepada sekolah bukan perkara baharu dan tidak terhad kepada Sekolah Cina sahaja. Malah, sehingga kini kerajaan negeri telah menyalurkan RM244.124 juta kepada pelbagai aliran sekolah termasuk Sekolah Agama Rakyat, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT), sekolah mubaligh, Sekolah Menengah Persendirian Cina, Sekolah Kebangsaan serta Sekolah Menengah Kebangsaan.
Sementara itu, Ketua Penerangan Pakatan Harapan (PH) Selangor, Abbas Azmi, turut senada dengan Mohd Sany dengan menyeru masyarakat agar tidak terjebak dengan cubaan pihak tertentu yang mempolitikkan isu pendidikan.
“Isu pendidikan adalah keperluan untuk masa depan anak-anak, tidak kira bangsa. Malaysia ialah sebuah negara berbilang kaum dan agama yang hidup harmoni, maka setiap pihak mempunyai tanggungjawab dan peranan masing-masing,” katanya.
Abbas yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Serdang berkata, masih ada pihak yang sering memainkan sentimen perkauman meskipun kerajaan negeri dan Persekutuan telah melaksanakan pelbagai inisiatif demi kebaikan rakyat.
“Kelompok ini sudah ketandusan idea untuk menyerang kerajaan, lalu memilih untuk mengucar-kacirkan masyarakat dengan isu perkauman. Walhal rakyat sedar perpaduan yang kita kecapi hari ini adalah hasil usaha semua pihak. Jadi hentikanlah sentimen perkauman,” tegasnya.
Kerajaan negeri menegaskan, segala bentuk bantuan pendidikan harus dilihat sebagai usaha memperkukuh sistem pendidikan untuk semua, dan bukannya dijadikan isu untuk memecahbelahkan masyarakat. – The Merdeka Times