Terkini
(VIDEO) RUU PSB: Apa rasional 30 tahun jadi tanda aras pembangunan semula?
KUALA LUMPUR — Setiausaha Agung Persatuan Pembeli Rumah Kebangsaan, Datuk Chang Kim Loong mempersoalkan rasional di sebalik cadangan menetapkan usia 30 tahun sesebuah bangunan sebagai penanda aras kelayakan pembangunan semula bandar.
Menurut beliau, bukan sahaja menteri sendiri mengakui jangka hayat sesebuah bangunan adalah sekitar 70 tahun, malah Jabatan Kerja Raya (JKR) juga mengatakan bahawa jangka hayat bangunan boleh mencecah sehingga 100 tahun, dengan purata 70 hingga 80 tahun.
“Oleh itu, mengapa 30 tahun? Jangka hayat manusia biasa adalah 75 tahun. Umur persaraan ialah 55 hingga 60 tahun. Mengapa 30 tahun? Itu soalan yang anda perlu tanya kepada menteri.
“Apa yang begitu menguntungkan tentang 30 tahun? Ibu saya berumur 90 tahun. Jika undang-undang ini diluluskan, dia perlu melalui tiga kitaran pembangunan semula.
“Sebuah rumah diibaratkan istana buat kita, tiada siapa boleh mengambilnya daripada kita. Kita yang memperolehinya, membayar pinjaman perumahan selama 35 tahun, tetapi belum pun sempat selesaikan bayaran pinjaman, URA (PSB) datang mengatakan bahawa selepas 30 tahun, kerajaan mempunyai kuasa untuk masuk dan melihat bagaimana ia boleh dibangunkan semula,” katanya dalam satu klip video di TikTok sebuah agensi media.
Tambah Chang, antara alasan digunakan kerajaan memperkenalkan PSB adalah untuk menaik tarafkan kemudahan di kawasan kediaman yang telah berusia.
“Salah satu alasan yang diberikan oleh menteri ialah kita mahu membangunkan semula kerana orang tua tidak boleh berjalan menaiki tangga. Eh, pasang lif lah.
“Apa yang susah sangat tentang memasang lif? Mengapa anda mesti merobohkan keseluruhannya? Dari 5 tingkat, dinaikkan menjadi 54 tingkat,” katanya sambil mempersoalkan siapakah yang akan mengaut keuntungan daripada semua perkara itu, dengan mendakwa kerajaan memperkenalkan undang-undang tersebut bagi memudahkan pemaju swasta.
Chang turut mengkritik Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming kerana didakwa mengambil kredit atas kejayaan pentadbiran terdahulu dalam melaksanakan projek terkait 1Razak Mansion dan Kampung Kerinchi, yang sering dijadikan contoh kejayaan pembangunan semula.
Tegasnya, kedua-dua projek itu adalah membabitkan persetujuan 100 peratus daripada pemilik hartanah yang terlibat.
“Jadi, janganlah berlagak dengan mendabik dada tentang kes kejayaan 1Razak Mansion mahupun Bangsar South, Kampung Kerinchi itu semua adalah 100 peratus persetujuan, semuanya setuju untuk terlibat dalam pembangunan,” katanya.
Beliau berkata RUU berkenaan turut menimbulkan kebimbangan kerana ia memberi kuasa yang besar kepada Menteri, memandangkan setiap cadangan pembangunan semula tetap perlu dirujuk kepadanya.
“Malah pihak berkuasa negeri, jawatankuasa ekonomi negeri mesti merujuk kepadanya (menteri) bagi setiap cadangan pembangunan semula. Dia menyimpan senarai semua projek pembangunan semula, termasuk projek-projek pemaju yang berkaitan.
“Mengapa kita harus memberikan kuasa kepada seorang sahaja?,” soalnya yang menegaskan bahawa undang-undang berkenaan tidak boleh dibiarkan wujud, kerana ia akan membuka ruang luas kepada pelbagai penyalahgunaan pada masa depan. — The Merdeka Times