Terkini
RUU PSB: Menteri jamin pampasan jauh lebih tinggi nilai pasaran semasa
- Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata kejayaan pelaksanaan projek sedemikian dapat dilihat melalui pembangunan semula Flat Razak Mansion di Bandar Tun Razak dan Kampung Kerinchi di Kuala Lumpur sebelum ini, yang menyaksikan pemilik menerima pampasan jauh lebih tinggi berbanding nilai asal.
- Menurutnya, prinsip pelaksanaan pembaharuan semula bandar itu ialah ‘satu diganti satu’, selain konsep ‘kecil kepada besar’.
- Tegas beliau, RUU PSB juga memperuntukkan campur tangan kerajaan bagi mengelakkan penindasan atau tindakan sewenang-wenangnya oleh pemaju.
KUALA LUMPUR — Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming memberi jaminan pampasan buat pemilik terlibat projek pembaharuan kediaman mengikut Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB) adalah adil dan jauh melebihi nilai pasaran semasa.
Kor Ming berkata kejayaan pelaksanaan projek sedemikian dapat dilihat melalui pembangunan semula Flat Razak Mansion di Bandar Tun Razak dan Kampung Kerinchi di Kuala Lumpur sebelum ini, yang menyaksikan pemilik menerima pampasan jauh lebih tinggi berbanding nilai asal.
“Saya akan pastikan pampasan yang diterima lebih baik daripada apa yang mereka miliki sekarang. Lihat sahaja (projek) Razak Mansion dan Kampung Kerinchi, ia terbukti berjaya. Mengapa perlu dipolitikkan perkara yang baik, sedangkan niat kita adalah untuk membantu rakyat?” katanya dipetik Berita Harian pada Ahad.
Menurut Ahli Parlimen Teluk Intan itu, prinsip pelaksanaan pembaharuan semula bandar tersebut ialah ‘satu diganti satu’, selain konsep ‘kecil kepada besar’.
Sebagai contoh, katanya rumah di Razak Mansion dan Kampung Kerinchi yang asalnya berkeluasan 400 kaki persegi kini digantikan dengan unit seluas 800 kaki persegi. Nilainya juga meningkat daripada RM70,000 kepada RM450,000.
Tegas beliau, RUU PSB juga memperuntukkan campur tangan kerajaan bagi mengelakkan penindasan atau tindakan sewenang-wenangnya oleh pemaju.
“Pemaju tidak boleh mengambil jalan mudah atau menindas pemilik kerana di bawah PSB, terdapat mekanisme kawalan seperti Jawatankuasa Mediasi dan Jawatankuasa Eksekutif yang dipengerusikan oleh menteri.
“Maka, setiap keputusan akan mengambil kira kepentingan awam dan menjamin formula menang-menang,” katanya sambil menggesa semua pihak tidak mempolitikkan inisiatif yang membawa manfaat kepada rakyat.
Mengulas ambang persetujuan 80 peratus dicadangkan dalam RUU PSB yang baru dibentangkan untuk bacaan kali pertama, Kor Ming menjelaskan ia bukan perkara baharu kerana garis panduan itu diwujudkan sejak 2013 selepas kajian mendalam selama tiga tahun.
“Ambang 80 peratus itu adalah antara yang tertinggi di dunia. Sebagai perbandingan, Shanghai hanya menetapkan majoriti dua pertiga, manakala Tokyo 60 peratus. Bagi mereka yang tidak bersetuju, proses rundingan akan dibuat menerusi Jawatankuasa Mediasi,” katanya. — The Merdeka Times