Terkini
Tulis ulasan negatif di Facebook, Lelaki Malaysia disaman restoran RM300,000
- Lelaki tersebut mendakwa disaman RM300,000 oleh sebuah restoran selepas menulis ulasan negatif di Facebook, termasuk mendedahkan nama dan gambar premis berkenaan.
- Punca pertikaian bermula daripada polisi restoran yang mewajibkan semua pelanggan dalam kumpulan memilih set menu sama (RM30 atau RM50), sehingga pelanggan berasa maruahnya dihina.
KUALA LUMPUR – Seorang lelaki Malaysia mendakwa disaman RM300,000 oleh sebuah restoran selepas menulis ulasan negatif di Facebook mengenai pengalaman buruk ketika makan di premis tersebut.
Menurut laporan Sin Chew Daily, insiden itu bermula apabila lelaki berkenaan (pengadu) bersama rakannya berkunjung ke restoran yang menawarkan dua set menu, masing-masing berharga RM30 dan RM50.
Seorang daripada mereka yang berstatus vegetarian ingin memilih set RM30, namun kakitangan restoran menegaskan semua pelanggan di meja sama wajib memilih set menu seragam. Akibatnya, mereka terpaksa memilih set RM50.
Tidak lama kemudian, dua lagi rakan menyertai kumpulan itu tetapi duduk di meja berasingan kerana kekangan tempat duduk.
Ketika mereka mahu memesan set RM30, kakitangan tetap mengarahkan supaya memilih set RM50 dengan alasan mereka daripada kumpulan yang sama dan berkemungkinan berkongsi makanan.
Berang dengan peraturan tersebut, pengadu menyifatkannya sebagai “satu penghinaan terhadap maruah pelanggan”.
Namun, pemilik restoran menegaskan polisi itu perlu dipatuhi, dengan alasan “Jika kami mengalah setiap kali pelanggan buat kecoh, perniagaan kami akan lingkup.”
Tidak berpuas hati, pengadu kemudian menulis ulasan negatif di Facebook, lengkap dengan nama restoran dan gambar papan tandanya.
Namun, beliau terkejut apabila dimaklumkan restoran berkenaan memfailkan saman fitnah terhadapnya, menuntut ganti rugi sebanyak RM300,000.
Dalam hantaran di kumpulan Facebook 法律与你同行 Law & Justice, pengadu berkata beliau sekadar meluahkan rasa tidak puas hati terhadap layanan yang diterima, dan tidak menyangka akan diseret ke mahkamah.
Beliau mendakwa terpaksa menyediakan sekurang-kurangnya RM30,000 untuk melawan saman tersebut dan menyifatkan dirinya sebagai mangsa keadaan.-The Merdeka Times