Connect with us

Terkini

Siapa ada kuasa arah post mortem? Peguam ulas kes kematian Zara Qairina

Published

on

Foto: Peguam, Nor Zabetha
  • Menurut peguam Nor Zabetha, meskipun masyarakat Islam amat sensitif terhadap prosedur bedah siasat atas kepercayaan ia menyeksa mayat, namun undang-undang jelas menyatakan bahawa keputusan itu bukan sepenuhnya di tangan ahli keluarga.
  • Mengulas laporan bahawa ibu Zara tidak pernah dimaklumkan atau dicadangkan tentang keperluan post mortem, Nor Zabetha berkata jika kematian berlaku di kawasan sekolah atau melibatkan jatuh dari bangunan, ia jelas berada dalam skop kematian yang memerlukan siasatan mendalam seperti diperuntukkan undang-undang.

 

KUALA LUMPUR – Isu ketiadaan bedah siasat (post mortem) terhadap kes kematian pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir, di sebuah sekolah agama di Papar, baru-baru ini menimbulkan persoalan hangat dalam kalangan masyarakat dan komuniti perundangan.

Terbaharu, peguam Nor Zabetha menerusi satu hantaran di media sosial menjelaskan persoalan penting, siapa sebenarnya berkuasa untuk memutuskan sama ada bedah siasat perlu dijalankan?

Menurut Zabetha, meskipun masyarakat Islam amat sensitif terhadap prosedur bedah siasat atas kepercayaan ia menyeksa mayat, namun undang-undang jelas menyatakan bahawa keputusan itu bukan sepenuhnya di tangan ahli keluarga.

Beliau menjelaskan bahawa berdasarkan Seksyen 329(1) dan Seksyen 330 Kanun Tatacara Jenayah (KTJ), pihak polis mempunyai tanggungjawab menjalankan siasatan terhadap kematian mengejut, mencurigakan, atau melibatkan unsur jenayah.

Sekiranya terdapat tanda-tanda mencurigakan, polis wajib membawa mayat untuk bedah siasat walaupun tanpa persetujuan waris.

“Sekiranya polis berpendapat bahawa mangsa mati akibat yang tidak natural atau berlaku keganasan, pihak polis perlu membawa mayat tersebut untuk bedah siasat selaras dengan Seksyen 330 KTJ,” jelas Zabetha.

Mengulas laporan bahawa ibu Zara tidak pernah dimaklumkan atau dicadangkan tentang keperluan post mortem, Nor Zabetha berkata jika kematian berlaku di kawasan sekolah atau melibatkan jatuh dari bangunan, ia jelas berada dalam skop kematian yang memerlukan siasatan mendalam seperti diperuntukkan undang-undang.

Foto: Tangkap layar hantaran Facebook Nor Zabetha.

Zabetha turut memberikan analogi bahawa jika si mati dibunuh secara halus contohnya disuntik racun hanya bedah siasat dapat mendedahkan bukti penting seperti lebam dalaman atau kesan racun yang tidak boleh dilihat dengan mata kasar. Tanpa autopsi, pelaku mungkin terlepas dari tindakan undang-undang.

Beliau juga merujuk kepada kes lampau seperti kematian bayi Adam Rayqal, di mana hasil post mortem yang menunjukkan trauma tumpul di kepala telah membantu membuktikan kecuaian pengasuh dan membawa kepada sabitan hukuman.

Tambah beliau, dalam kes tertentu, seperti yang diputuskan mahkamah pada 2023, mayat boleh digali semula untuk post mortem kedua jika laporan pertama gagal menentukan punca kematian secara jelas.

Ini menunjukkan ada ruang undang-undang untuk semakan semula keputusan awal melalui proses kehakiman.

Sebagai kesimpulan, Zabetha menegaskan bahawa kuasa mutlak bagi menentukan keperluan post mortem dalam kematian mencurigakan adalah di tangan polis.

“Jadi korang rasa, kuasa ada dekat tangan siapa? Polis? Suami yang tak bagi kebenaran?”, soal Zabetha saat memberi analogi paling mudah nak faham kepada pasukan peguamnya.

“Polis!”, mereka jawab. Saya angguk. Undang-undang ini tegas,” tegas beliau.

Kes Zara kini menarik perhatian ramai dan menimbulkan gesaan agar pihak berkuasa menjalankan bedah siasat walaupun selepas pengebumian, jika perlu, demi memastikan punca kematian terjawab dan keadilan untuk mendiang ditegakkan.-The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author