Terkini
Perintah gaji minimum turut terpakai kepada guru PASTI – Steven Sim
- “Mengikut Perintah Gaji Minimum (PGM), pematuhan terhadap gaji minimum tetap terpakai kepada guru PASTI sama seperti pekerja sektor swasta yang lain,” kata Menteri Sumber Manusia, Steven Sim.
- Steven Sim berkata sekiranya terdapat sebarang ketidakpatuhan terhadap perintah terbabit ia boleh dilaporkan kepada Jabatan Tenaga Kerja (JTK) bagi membolehkan siasatan dilakukan.
KUALA LUMPUR — Perintah gaji minimum turut terpakai kepada guru di Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI), seperti mana dikenakan terhadap pekerja sektor swasta lain.
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim berkata sekiranya terdapat sebarang ketidakpatuhan terhadap perintah terbabit ia boleh dilaporkan kepada Jabatan Tenaga Kerja (JTK) bagi membolehkan siasatan dilakukan.
“Mengikut Perintah Gaji Minimum (PGM), pematuhan terhadap gaji minimum tetap terpakai kepada guru PASTI sama seperti pekerja sektor swasta yang lain,” katanya semasa penggulungan perbahasan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat.
Sebelum ini, Nik Nazmi Nik Ahmad (PH-Setiawangsa) dilaporkan pernah membangkitkan isu kadar gaji guru PASTI di bawah kendalian PAS yang dibayar antara RM600 hingga RM700 sebulan yang dilihat bukan saja tidak menepati perintah gaji minimum, malah turut melanggar Akta Majlis Perundingan Gaji Negara.
Perkara itu dibangkitkan Nik Nazmi ketika menyertai sesi perbahasan RMK13 di Dewan Rakyat, yang turut mempersoalkan alasan PAS bahawa gaji mereka rendah kerana bekerja secara sukarela.
Nik Nazmi meminta perkara itu diberi perhatian, mengambil kira banyak aduan daripada guru yang mengajar di PASTI. — The Merdeka Times