Connect with us

Terkini

Pendakwah bimbang cadangan perluaskan PrEP tanpa had, sifatkan normalisasi maksiat

Published

on

Foto: Pendakwah bebas, Dr Mohamad Razif Mohamad Fuad
  • Dalam kenyataan di Facebook, pendakwah bebas, Dr Mohamad Razif Mohamad Fuad menegaskan bahawa penggunaan PrEP secara prinsipnya hanya sesuai untuk pasangan berkahwin di mana salah seorang daripadanya positif HIV bagi melindungi pasangan yang negatif.
  • “Ini adalah usaha peralihan paradigma daripada pencegahan dosa (preventing vice) kepada pengurusan dosa (managing vice). Akhirnya, ia membawa kepada normalisasi zina dan hubungan sejenis, seolah-olah ia satu pilihan gaya hidup yang sah, asalkan ‘selamat’,” jelasnya.

 

KUALA LUMPUR — Pendakwah bebas, Dr Mohamad Razif Mohamad Fuad menzahirkan kebimbangan terhadap cadangan pihak tertentu untuk memperluaskan pemberian ubat Pre-Exposure Prophylaxis (PrEP) secara terbuka dan tanpa batas atas alasan keselamatan serta kesihatan awam.

Dalam kenyataan di Facebook, Dr Razif menegaskan bahawa penggunaan PrEP secara prinsipnya hanya sesuai untuk pasangan berkahwin di mana salah seorang daripadanya positif HIV bagi melindungi pasangan yang negatif.

“Dalam bahasa mudah, ia perlu bersasar,” katanya.

Namun beliau menyifatkan cadangan memperluaskan pemberian PrEP kepada sesiapa sahaja sebagai satu perubahan falsafah yang berbahaya, yang tidak lagi mencegah maksiat tetapi sekadar menguruskannya.

“Ini adalah usaha peralihan paradigma daripada pencegahan dosa (preventing vice) kepada pengurusan dosa (managing vice). Akhirnya, ia membawa kepada normalisasi zina dan hubungan sejenis, seolah-olah ia satu pilihan gaya hidup yang sah, asalkan ‘selamat’,” jelasnya.

Menurut Dr Razif, HIV tidak seharusnya wujud dalam budaya masyarakat Islam kerana ia sering menjadi natijah kepada perilaku yang dilarang oleh Allah.

“Menyediakan perlindungan tanpa mengubah perilaku hanyalah ibarat menampal atap bocor di sana sini tanpa menukar atap itu sendiri,” tegas beliau.

Sebaliknya, Dr Razif menekankan bahawa penyelesaian sebenar adalah dengan memutuskan jalan kepada maksiat menerusi pendidikan akhlak, pengukuhan institusi keluarga, kawalan pengaruh media yang mempromosikan seks bebas serta membina kesedaran bahawa kesihatan fizikal tidak boleh dipisahkan daripada kesihatan rohani.

“Masyarakat yang benar-benar sihat bukan mereka yang bebas penyakit, tetapi hakikatnya bebas daripada budaya yang melahirkan penyakit itu sendiri,” katanya. -The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author