Connect with us

Terkini

Data baharu buktikan kuota Bumiputera di KL sudah tidak relevan – Lee Chean Chung

Published

on

Foto: Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung
  • Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung menegaskan cadangan mengekalkan kuota minimum 40 peratus penduduk Bumiputera di Kuala Lumpur sudah tidak relevan, memandangkan peratusan tersebut telah lama dicapai, dan kumpulan minoriti pula kini semakin mengecil dari segi jumlah dan pengaruh demografi.
  • Beliau merujuk data Jabatan Perangkaan Malaysia yang menunjukkan pada 2023, peratusan Bumiputera di Kuala Lumpur telah mencecah 47.4 peratus meningkat daripada 45.9 peratus pada 2010.
  • Menurut unjuran diterbitkan, populasi Cina di Semenanjung Malaysia dijangka menurun kepada 21.1 peratus pada 2030 dan seterusnya kepada 14.8 peratus pada 2060.
  • Kumpulan etnik India pula dijangka menurun daripada 6.3 peratus pada 2030 kepada hanya 4.7 peratus pada 2060.
  • “Jika kita terus-menerus cuba membayangkan adanya pihak lain dalam negara untuk bersaing dengan Bumiputera, kita hanya akan terperangkap dalam bayang-bayang masa lalu,” ujarnya.

PETALING JAYA – Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung menegaskan bahawa cadangan untuk mengekalkan kuota minimum 40 peratus penduduk Bumiputera di Kuala Lumpur sudah tidak relevan, memandangkan peratusan tersebut telah lama dicapai, dan kumpulan minoriti pula kini semakin mengecil dari segi jumlah dan pengaruh demografi.

Beliau merujuk kepada data Jabatan Perangkaan Malaysia yang menunjukkan bahawa pada tahun 2023, peratusan Bumiputera di Kuala Lumpur telah mencecah 47.4 peratus meningkat daripada 45.9 peratus pada tahun 2010.

Ini bermakna sasaran 40 peratus yang dicadangkan dalam Rancangan Struktur Kuala Lumpur 2040 telah pun dicapai lebih dua dekad lalu.

“Saya berpendapat penetapan ambang 40 peratus ini agak ganjil. Ia seolah-olah seperti menetapkan kuota wanita di Parlimen sedangkan jumlah mereka telah pun melebihi sasaran tersebut,” kata beliau dalam satu kenyataan yang dimuat naik di laman Facebooknya.

Menurut unjuran yang diterbitkan, populasi Cina di Semenanjung Malaysia dijangka menurun kepada 21.1 peratus pada tahun 2030 dan seterusnya kepada 14.8 peratus pada tahun 2060.

Kumpulan etnik India pula dijangka menurun daripada 6.3 peratus pada 2030 kepada hanya 4.7 peratus pada tahun 2060.

“Siapa sebenarnya yang diandaikan mengisi baki 60 peratus itu apabila kuota Bumiputera ditetapkan pada 40 peratus?

“Dulu mungkin kaum Cina atau India, tetapi hari ini, kumpulan minoriti ini sendiri sedang berkurang,” tambah beliau.

Beliau menegaskan bahawa ramai dalam kalangan minoriti ini berkongsi cabaran yang sama dengan masyarakat majoriti, termasuk isu pendapatan yang tidak meningkat, kesesakan lalu lintas, masalah pengangkutan awam, dan kekurangan kawasan hijau di bandar.

“Jika kita terus-menerus cuba membayangkan adanya pihak lain dalam negara untuk bersaing dengan Bumiputera, kita hanya akan terperangkap dalam bayang-bayang masa lalu,” ujarnya.

Sebaliknya, beliau menyeru agar dasar perbandaran memberi tumpuan kepada daya huni bandar, perkhidmatan awam yang cekap, penyediaan rumah mampu milik, serta pembangunan sistem pengangkutan yang menyeluruh dan mampan.

Dalam kenyataannya, YB Lee turut mengingatkan bahawa pesaing sebenar Kuala Lumpur bukanlah kaum lain, tetapi bandar-bandar serantau seperti Singapura, Bangkok, Jakarta dan Ho Chi Minh.

“Kita perlu menyatukan penduduk Kuala Lumpur Melayu, Cina, India, dan warga asing untuk bersama membina sebuah bandar bertaraf antarabangsa, membawa masuk pelaburan dan industri bernilai tambah tinggi,” tegas beliau.

Media sebelum ini melaporkan Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040 (PSKL2040) telah menetapkan strategi untuk mengekalkan komposisi kaum Melayu dan Bumiputera di ibu negara supaya tidak kurang daripada 40 peratus.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata antara strategi sedang diteroka ialah memastikan Rumah Mampu Milik Melayu, Kedai Mampu Milik Melayu dan Perindustrian Ringan Mampu Milik Melayu diperkenalkan bagi setiap pembangunan di Tanah Rizab Melayu dan tanah Penempatan Pertanian Melayu (MAS) di Wilayah Persekutuan.

Zaliha berkata demikian bagi menjawab soalan Zulkifli Ismail (PN-Jasin) mengenai pelan jangka panjang kerajaan dalam mengekalkan identiti, pemilikan dan kesinambungan komuniti Melayu di tengah bandar khususnya di Kuala Lumpur yang mengalami tekanan pembangunan swasta. — The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author