Terkini
Anthony Loke arah DAPSY buat laporan polis terhadap Akmal Salleh
- DAP kecam keras tindakan Ketua Pemuda UMNO, Dr. Akmal Salleh, yang mengetuai perarakan dan demonstrasi di hadapan sebuah kedai logam di Kepala Batas semalam.
- “Tindakan Akmal mengabaikan amaran pihak polis adalah satu perbuatan mencabar kedaulatan undang-undang dan mengganggu ketenteraman awam. Ia turut menimbulkan kegusaran dalam kalangan peniaga sekitar sehingga ada yang terpaksa menutup perniagaan lebih awal,” – Setiausaha Agung DAP, Loke Siew Fook
- Beliau turut mengarahkan sayap Pemuda DAP (DAPSY) di seluruh negara untuk membuat laporan polis terhadap kejadian itu.
GEORGE TOWN — DAP mengecam keras tindakan Ketua Pemuda UMNO, Dr. Akmal Salleh, yang mengetuai perarakan dan demonstrasi di hadapan sebuah kedai logam di Kepala Batas semalam, walaupun amaran telah dikeluarkan oleh Ketua Polis Negara dan Ketua Polis Pulau Pinang agar tiada sebarang perhimpunan diadakan.
Setiausaha Agung DAP, Loke Siew Fook, dalam satu kenyataan berkata tindakan itu merupakan satu bentuk buli dan ugutan terhadap peniaga berkenaan, walaupun siasatan masih dijalankan dan peniaga tersebut telah memohon maaf atas kesilapan pemasangan bendera.
“Tindakan Akmal mengabaikan amaran pihak polis adalah satu perbuatan mencabar kedaulatan undang-undang dan mengganggu ketenteraman awam. Ia turut menimbulkan kegusaran dalam kalangan peniaga sekitar sehingga ada yang terpaksa menutup perniagaan lebih awal,” katanya.
Menurut Loke, perbuatan tersebut melampaui batas undang-undang serta norma masyarakat berbilang kaum di Malaysia, dan hukuman setimpal wajar dikenakan terhadap tindakan sedemikian.
Beliau turut mengarahkan sayap Pemuda DAP (DAPSY) di seluruh negara untuk membuat laporan polis terhadap kejadian itu di bawah Seksyen 503 Kanun Keseksaan (menakutkan secara jenayah), Seksyen 504 (mengeluarkan kenyataan mengaibkan dengan niat membangkitkan kekacauan), dan Seksyen 505 (mengeluarkan kenyataan yang mendatangkan khianat awam).
Laporan polis juga akan dibuat di bawah seksyen baharu bagi menangani buli iaitu Seksyen 507B Kanun Keseksaan (menyebabkan mangsa mengalami gangguan, ketakutan atau kebimbangan) dan Seksyen 507C (mengeluarkan kata-kata yang berkemungkinan menyebabkan mangsa terganggu atau takut).
“Jalur Gemilang sebagai simbol kedaulatan negara wajib dikibarkan dengan betul dan penuh penghormatan. Namun, ugutan dan buli yang menimbulkan ketegangan bukanlah cara untuk menyelesaikan isu ini,” tegasnya.