Connect with us

Antarabangsa

Slovenia pecah tradisi EU, Haramkan kemasukan Ben-Gvir dan Smotrich

Published

on

Foto: Menteri Luar Slovenia, Tanja Fajon (kanan), menteri kanan Israel, Itamar Ben-Gvir (tengah) dan Bezalel Smotrich (kiri).
  • Langkah luar biasa ini diumumkan Menteri Luar Slovenia, Tanja Fajon, yang menyatakan bahawa ini merupakan kali pertama sebuah negara Kesatuan Eropah (EU) mengambil tindakan sedemikian terhadap anggota kabinet Israel.
  • Menurut kerajaan Slovenia, Ben-Gvir dan Smotrich telah membuat kenyataan berbaur genosid serta menyokong peluasan penempatan haram Yahudi di Tebing Barat, pengusiran paksa rakyat Palestin, dan keganasan terhadap penduduk awam.
  • Keputusan Slovenia untuk bertindak secara unilateral dibuat selepas menteri-menteri luar EU gagal mencapai kata sepakat mengenai tindakan bersama terhadap Israel berikutan pelanggaran hak asasi manusia, dalam mesyuarat di Brussels minggu ini.

 

LJUBLJANA — Kerajaan Slovenia mengisytiharkan dua menteri kanan Israel, Itamar Ben-Gvir dan Bezalel Smotrich, sebagai persona non grata dan melarang mereka memasuki negara itu atas dakwaan menghasut keganasan serta pelanggaran hak asasi terhadap rakyat Palestin.

Langkah luar biasa ini diumumkan oleh Menteri Luar Slovenia, Tanja Fajon, yang menyatakan bahawa ini merupakan kali pertama sebuah negara Kesatuan Eropah (EU) mengambil tindakan sedemikian terhadap anggota kabinet Israel.

“Kami sedang merintis pendekatan baharu,” katanya dalam satu kenyataan rasmi.

Menurut kerajaan Slovenia, Ben-Gvir, Menteri Keselamatan Negara Israel, dan Smotrich, Menteri Kewangan Israel, telah membuat kenyataan berbaur genosid serta menyokong peluasan penempatan haram Yahudi di Tebing Barat, pengusiran paksa rakyat Palestin, dan keganasan terhadap penduduk awam.

Tiada maklum balas segera diberikan oleh kerajaan Israel terhadap larangan ini.

Namun kedua-dua menteri berkenaan merupakan sekutu penting Perdana Menteri Benjamin Netanyahu dan memainkan peranan besar dalam mengekalkan kestabilan politik pemerintahannya.

Smotrich yang tinggal di penempatan haram Yahudi di Tebing Barat, secara terbuka menyokong aneksasi wilayah Palestin, manakala Ben-Gvir pernah memuji Baruch Goldstein pelaku pembunuhan 29 rakyat Palestin di Hebron pada 1994 serta pernah beberapa kali disabitkan kesalahan oleh mahkamah Israel kerana hasutan perkauman.

Langkah Slovenia ini turut menyusul selepas Presiden Slovenia, Natasa Pirc Musar, menggesa tindakan lebih tegas oleh EU terhadap Israel semasa berucap di Parlimen Eropah pada 21 Mei lalu, sambil menyifatkan situasi di Gaza sebagai “genosid”.

Fajon menjelaskan bahawa keputusan untuk bertindak secara unilateral dibuat selepas menteri-menteri luar EU gagal mencapai kata sepakat mengenai tindakan bersama terhadap Israel berikutan pelanggaran hak asasi manusia, dalam mesyuarat di Brussels minggu ini.

Negara-negara lain seperti Britain, Norway, Australia, New Zealand dan Kanada sebelum ini turut mengenakan sekatan terhadap Ben-Gvir dan Smotrich atas tuduhan menghasut keganasan.

Tahun lalu, Slovenia mengiktiraf negara Palestin, sejajar dengan langkah yang diambil oleh Norway, Sepanyol dan Ireland. -The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author