Connect with us

Terkini

Pengasas eHati Diyana Tahir bukan kaunselor berdaftar – Lembaga Kaunselor Malaysia

Published

on

Foto: Kenyataan media Lembaga Kaunselor Malaysia
  • Perkara itu dimaklumkan Lembaga Kaunselor Malaysia (LKM) menerusi satu kenyataan media di Facebook susulan isu tular yang mendakwa pengasas eHati berkenaan merupakan seorang kaunselor berdaftar.
  • Perkhidmatan kaunseling hanya boleh dijalankan oleh kaunselor berdaftar sebagaimana diperuntukkan di bawah Akta Kaunselor 1998 (Akta 580).
  • Sebarang pelanggaran terhadap peruntukan itu satu kesalahan dan boleh dikenakan tindakan undang-undang.

KUALA LUMPUR — Lembaga Kaunselor Malaysia (LKM) hari ini mengesahkan bahawa pengasas program motivasi rumah tangga eHati International Sdn Bhd (eHati), Diyana Tahir, bukan seorang kaunselor berdaftar dan tidak berdaftar dengan LKM.

Perkara itu dimaklumkan menerusi satu kenyataan media di Facebook susulan isu tular yang mendakwa pengasas eHati berkenaan merupakan seorang kaunselor berdaftar.

LKM dalam kenyataannya menegaskan bahawa perkhidmatan kaunseling hanya boleh dijalankan oleh seorang kaunselor yang berdaftar sebagaimana diperuntukkan di bawah Akta Kaunselor 1998 (Akta 580).

Jelasnya, sebarang pelanggaran terhadap peruntukan itu merupakan satu kesalahan dan boleh dikenakan tindakan undang-undang.

“LKM memandang serius terhadap sebarang bentuk penyalahgunaan gelaran atau pengendalian perkhidmatan kaunseling tanpa kelayakan dan pendaftaran yang sah.

“Orang ramai disarankan untuk sentiasa menyemak status pendaftaran kaunselor melalui saluran rasmi LKM bagi memastikan mereka menerima perkhidmatan yang sah dan diiktiraf,” katanya.

Berdasarkan Seksyen 22(1) Akta Kaunselor 1998, adalah menjadi satu kesalahan bagi mana-mana individu:

a)Mengamalkan atau menjalankan atau mengendalikan atau mengemukakan dirinya sebagai mengamal atau menjalankan atau mengendalikan, amalan sebagai kaunselor atau bekerja sebagai kaunselor;

b) Menggunakan gelaran ‘kaunselor berdaftar’ atau apa-apa gelaran dalam apa-apa bahasa yang mungkin semunasabahnya ditafsirkan sebagai menunjukkan bahawa dia seorang kaunselor berdaftar, atau;

c) Menggunakan atau mempamerkan apa-apa tanda, papan, kad atau reka bentuk lain yang menggambarkan atau menunjukkan bahawa dia seorang kaunselor berdaftar.

Seksyen 22(2) akta sama memperuntukkan bahawa individu yang melanggar subseksyen (1) boleh didenda tidak melebihi RM30,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan.

Sementara itu, Seksyen 23(1) menetapkan bahawa tiada seorang pun boleh menjalankan amalan sebagai kaunselor, melainkan jika dia memegang suatu perakuan amalan sah yang dikeluarkan di bawah akta berkenaan.

Foto: Tangkap layar Kenyataan Rasmi di Facebook Lembaga Kaunselor Malaysia.

Terdahulu, masyarakat dikejutkan dengan pendedahan seorang pengguna media sosial mengenai program motivasi e-Hati yang diusahakan sepasang suami isteri yang dikatakan mengandungi unsur jelik dan fahaman meragukan.

Pendedahan itu menyaksikan semalam enam individu, termasuk pasangan suami isteri pengasas program terbabit dan seorang anak perempuan mereka dilapor direman tiga hari oleh Mahkamah Majistret Shah Alam.

Kesemua suspek melibatkan empat wanita dan dua lelaki akan disiasat mengikut Seksyen 294 Kanun Keseksaan iaitu berkelakuan tidak senonoh, Seksyen 509 Kanun Keseksaan iaitu mengaibkan kehormatan seseorang serta Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil.

Pada hari sama, polis mengesahkan wujud adegan berbogel dalam acara dipanggil sebagai Queen’s Night menerusi program motivasi rumah tangga e-Hati di Pusat Konvensyen IDCC di Shah Alam, pada September tahun lalu. — The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author