Connect with us

Terkini

Isu pelantikan hakim: Rafizi beri amaran PH boleh tewas PRU jika tidak ditangani segera

Published

on

Foto: Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli
  • “Kalau kami tak bersuara dan isu ini tidak ditangani dengan baik, kesannya kepada PH adalah lebih teruk. Kesan kepada negara itu lebih teruk kerana pengundi dan rakyat biasa yang percaya negara ini ada peluang untuk melakukan perubahan, dia akan berasa semuanya hilang, semuanya (ahli politik) sama.” -Rafizi Ramli
  • Rafizi turut menyindir golongan yang dilihat cuba ‘melindungi’ Perdana Menteri, menyatakan bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak memerlukan perlindungan politik sebaliknya perlu lakukan perkara yang terbaik.
  • Menurutnya, semua Ahli Parlimen kerajaan sepatutnya menyokong usaha ini kerana ia bukan sekadar soal politik, tetapi melibatkan integriti institusi negara.

 

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli memberi amaran bahawa isu kehakiman yang membelenggu kerajaan ketika ini boleh membawa kesan buruk kepada Pakatan Harapan (PH), termasuk kehilangan sokongan pengundi bandar dan kemungkinan tewas pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16.

Menurut beliau, keprihatinannya terhadap isu tersebut yang turut dikongsi bersama sembilan lagi Ahli Parlimen PKR bukanlah tindakan sabotaj terhadap parti, tetapi satu usaha memberi peringatan awal kepada kepimpinan kerajaan.

“Kalau kami tak bersuara dan isu ini tidak ditangani dengan baik, kesannya kepada PH adalah lebih teruk. Kesan kepada negara itu lebih teruk kerana pengundi dan rakyat biasa yang percaya negara ini ada peluang untuk melakukan perubahan, dia akan berasa semuanya hilang, semuanya (ahli politik) sama,” kata Rafizi dalam Forum Awam: Integriti Kehakiman di Rumah Kelab PAUM, malam tadi.

Beliau turut memberi amaran bahawa jika rakyat mula menyamakan semua ahli politik sebagai tidak berbeza, PH akan hilang daya tarikan sebagai platform perubahan, dan tiada siapa lagi akan peduli jika pemimpinnya bersuara tentang reformasi kehakiman.

Rafizi menegaskan bahawa pendekatan mereka adalah satu bentuk amaran awal kepada kerajaan agar segera mengambil tindakan sewajarnya dan bukan menunggu sehingga kerosakan menjadi lebih parah.

“Kalau perkara ini tak diselesaikan segera dan pada masa itu baru mereka sedar ‘sembilan jahanam’ ini cuba melakukan sesuatu, ia bukan sabotaj. Ia amaran awal,” tegasnya.

Menurutnya, semua Ahli Parlimen kerajaan sepatutnya menyokong usaha ini kerana ia bukan sekadar soal politik, tetapi melibatkan integriti institusi negara.

Rafizi turut menyindir golongan yang dilihat cuba ‘melindungi’ Perdana Menteri, menyatakan bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak memerlukan perlindungan politik sebaliknya perlu lakukan perkara yang terbaik.

Beliau mencadangkan agar Perdana Menteri menggugurkan nama mana-mana calon hakim yang telah dipersoalkan kredibilitinya daripada proses pencalonan, dan menjalankan siasatan terlebih dahulu.

“Kalau itu dilakukan, orang tak akan marah sangat. Sebaliknya, tindakan itu akan memperkukuh kedudukan Perdana Menteri,” katanya. -The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author