Connect with us

Terkini

Isu Batu Puteh: Kerajaan jangan jadi hakim, pendakwa dan tukang gantung – A. Kadir Jasin

Published

on

Foto: Wartawan veteran dan tokoh media, Datuk A Kadir Jasin
  • Datuk A Kadir Jasin mempersoalkan keputusan Kerajaan yang menolak cadangan RCI untuk mendakwa Dr Mahathir atas tuduhan memperdaya kerajaan dalam isu penarikan semula permohonan semakan keputusan ICJ pada 2018.
  • Beliau mengingatkan bahawa keputusan itu memberi isyarat seolah-olah kerajaan sedang mengambil alih peranan badan kehakiman dan pendakwaan.
  • “Perdana Menteri dan Kabinet tidak boleh bertindak sebagai penyiasat, pendakwa raya, hakim dan tukang gantung. Kita kena ikut undang-undang, bukan hukum rimba,” tegasnya dalam hantaran di Facebook miliknya.

 

KUALA LUMPUR – Wartawan veteran dan tokoh media, Datuk A Kadir Jasin, tampil mengkritik keputusan kerajaan yang tidak meneruskan siasatan terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung isu Batu Puteh, dengan menyifatkan tindakan tersebut sebagai bercanggah dengan prinsip undang-undang.

Dalam catatan panjang yang dimuat naik di Facebook miliknya, Kadir mempersoalkan keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kabinet yang menolak cadangan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk mendakwa Dr Mahathir atas tuduhan memperdaya kerajaan dalam isu penarikan semula permohonan semakan keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada 2018.

Kadir mengingatkan bahawa keputusan itu memberi isyarat seolah-olah kerajaan sedang mengambil alih peranan badan kehakiman dan pendakwaan.

“Perdana Menteri dan Kabinet tidak boleh bertindak sebagai penyiasat, pendakwa raya, hakim dan tukang gantung. Kita kena ikut undang-undang, bukan hukum rimba,” tegasnya dalam hantaran di Facebook miliknya.

Foto: Tangkap layar hantaran Facebook A Kadir Jasin.

Menurutnya lagi, alasan bahawa Dr Mahathir sudah berusia tidak boleh menjadi penghalang kepada proses keadilan, apatah lagi apabila bekas Perdana Menteri itu sendiri secara terbuka mencabar agar beliau didakwa di mahkamah.

Tegas Kadir, dalam sistem perundangan negara, kanak-kanak dan orang gila pun tidak dikecualikan daripada proses pendakwaan, apatah lagi seorang negarawan.

Undang-undang mana yang mereka ikut? Yang saya tahu, hatta kanak-kanak (juvana) dan orang gila pun boleh didakwa. Ada mahkamah khas untuk kanak-kanak. Orang gila pun tidak terlepas daripada perbicaraan,” katanya.

Kritikan berkenaan menyusul selepas Anwar memaklumkan di Parlimen pada 22 Julai bahawa kerajaan mengambil keputusan tidak mendakwa Dr Mahathir atas faktor usia lanjut, meskipun RCI telah mencadangkan siasatan lanjut ke atas keputusan kerajaan PH pada 2018 yang membatalkan permohonan semakan ke atas keputusan ICJ mengenai Batu Puteh.

Kadir turut memperbetulkan kenyataan Anwar yang mendakwa Dr Mahathir “melepaskan Batu Puteh kepada Singapura,” dengan menjelaskan bahawa ICJ telah membuat keputusan pada 2008.

Ketika itu Dr Mahathir bukan lagi Perdana Menteri, malah kes itu dibawa oleh kerajaan pimpinan Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Dalam kupasan sejarahnya, Kadir juga menyentuh bagaimana pertikaian mengenai kedaulatan Batu Puteh bermula sejak Malaysia menerbitkan peta pada 1979 yang menunjukkan pulau tersebut sebagai sebahagian daripada wilayahnya, yang kemudiannya dibantah oleh Singapura. – The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author