Connect with us

Terkini

Batal cukai barang mewah: ‘Siapa sebenarnya yang dijaga? Rakyat atau mahakaya?’ – Isham Jalil

Published

on

Foto: Bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Isham Jalil
  • Isham Jalil mempersoalkan motif kerajaan yang sebelum ini mendakwa hanya golongan mahakaya atau Top 15 peratus (T15) yang akan dikenakan cukai tambahan, namun hingga kini gagal memberikan takrif jelas siapa tergolong dalam kelompok T15 tersebut.
  • “Alih-alih hari ini kerajaan umum cukai barangan mewah pula dibatalkan. Mahakaya tak perlu bayar cukai lebih untuk beli barangan mewah,” tegas Isham dalam hantaran di akaun Faebook miliknya.
  • Isham turut mengkritik peluasan cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang menyaksikan kutipan antara RM50 bilion hingga RM60 bilion setahun, namun memberi beban kepada majoriti rakyat apabila subsidi turut ditarik balik.

KUALA LUMPUR, 30 Julai 2025 – Bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Isham Jalil, membidas keputusan kerajaan membatalkan pelaksanaan cukai barangan mewah, yang menurutnya hanya memberi kelebihan kepada golongan kaya raya dan bukannya rakyat kebanyakan.

Beliau mempersoalkan motif kerajaan yang sebelum ini mendakwa hanya golongan mahakaya atau Top 15 peratus (T15) yang akan dikenakan cukai tambahan, namun hingga kini gagal memberikan takrif jelas siapa yang tergolong dalam kelompok T15 tersebut.

“Alih-alih hari ini kerajaan umum cukai barangan mewah pula dibatalkan. Mahakaya tak perlu bayar cukai lebih untuk beli barangan mewah,” tegas Isham dalam hantaran di akaun Facebook miliknya.

Isham turut mengkritik peluasan cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang menyaksikan kutipan antara RM50 bilion hingga RM60 bilion setahun, namun memberi beban kepada majoriti rakyat apabila subsidi turut ditarik balik.

“Siapa yang kerajaan ingin jaga ini? Rakyat jelata, taikun atau mahakaya?” soalnya.

Foto: Tangkap layar hantaran Facebook Isham Jalil.

Menurut beliau, cukai tambahan sepatutnya dikenakan terhadap barangan mewah yang hanya mampu dimiliki golongan berada, dan bukannya disamakan dengan barangan keperluan rakyat biasa.

“Jika kerajaan kenakan cukai lebih kepada mahakaya, kita boleh kurangkan cukai kepada rakyat biasa yang membanting tulang membangun negara. Itu baru adil,” tambah beliau lagi.

Isham juga mempertikaikan rasional memberikan pelepasan cukai kepada golongan kaya sedangkan rakyat biasa terus terbeban dengan kos sara hidup yang semakin meningkat.

Isham mengulas keputusan Kementerian Kewangan pada Rabu untuk tidak melaksanakan Cukai Barang Bernilai Tinggi (HVGT).

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata  keputusan itu dibuat memandangkan semakan cukai jualan dan perkhidmatan yang diperluaskan kepada antara lima hingga 10 peratus telah mengambil kira barangan mewah.

Anwar menambah bahawa peluasan SST akan menjana pendapatan RM5 bilion tahun ini, dengan angka itu meningkat dua kali ganda kepada RM10 bilion pada 2026. – The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author