Connect with us

Terkini

3R bukan untuk lindung satu agama saja – MIC

Published

on

Foto: Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran
  • Kenyataan itu disuarakan susulan AGC menyatakan tiada keterangan mencukupi untuk mendakwa Zamri Vinoth dan Firdaus Wong.
  • Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran berkata prinsip 3R wujud untuk memelihara keharmonian antara agama, ketenteraman awam serta perpaduan sosial semua masyarakat di negara ini.
  • “Jika prinsip 3R mempunyai makna dalam Malaysia hari ini, ia mesti digunakan terhadap semua agama (kepercayaan) secara adil, tegas dan berintegriti,” katanya.
  • Katanya, pelaksanaan prinsip itu hanya apabila kaum atau agama tertentu terkesan, tetapi gagal bertindak bagi pihak lain mencerminkan sikap pilih kasih berbahaya dan tidak boleh diterima.

KUALA LUMPUR — Susulan Jabatan Peguam Negara (AGC) menyatakan bahawa tiada keterangan mencukupi untuk mendakwa Zamri Vinoth dan Firdaus Wong, Malaysian Indian Congress (MIC) mempersoalkan perkara itu dan mengingatkan prinsip 3R (agama, kaum dan raja-raja) bukan diwujudkan untuk satu agama sahaja.

Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran berkata prinsip 3R itu diwujudkan untuk memelihara keharmonian antara agama, ketenteraman awam serta perpaduan sosial semua masyarakat di negara ini.

Katanya, pelaksanaan prinsip itu hanya apabila kaum atau agama tertentu terkesan, tetapi gagal bertindak bagi pihak lain mencerminkan sikap pilih kasih berbahaya dan tidak boleh diterima.

Dalam masyarakat berbilang kaum dan agama, penguatkuasaan secara berpilih menurut beliau bukan sahaja bercanggah dengan semangat Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan, tetapi turut menjejaskan keyakinan rakyat terhadap keadilan dan kredibiliti sistem perundangan negara.

“Diam secara berpilih bukanlah suatu bentuk berkecuali, ia adalah suatu bentuk subahat.

“Jika prinsip 3R mempunyai makna dalam Malaysia hari ini, ia mesti digunakan terhadap semua agama (kepercayaan) secara adil, tegas dan berintegriti,” katanya dipetik media tempatan semalam.

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said dilaporkan berkata beliau dimaklumkan AGC setakat ini mendapati tiada keterangan mencukupi untuk membuktikan elemen kesalahan di bawah mana-mana peruntukan undang-undang bagi mendakwa Zamri Vinoth dan Firdaus Wong di mahkamah.

Azalina dalam masa sama menjelaskan bahawa sekiranya terdapat perkembangan baharu pada masa akan datang, siasatan dan semakan lanjut terhadap kes tersebut masih boleh dijalankan.

Menyentuh kes Zamri, Vigneswaran berkata hantaran Facebook yang berunsur hasutan itu dibuat secara terbuka dan mencetuskan kemarahan orang ramai.

“Sukar diterima akal bahawa kelakuan seperti itu tidak mencapai tahap kesalahan jenayah di bawah Kanun Keseksaan atau Akta Hasutan 1948,” katanya.

Justeru, beliau meminta AGC memberi penjelasan atas keputusan tersebut kerana ia dilihat kurang telus dan boleh dianggap berat sebelah.

Vigneswaran juga mengingatkan pihak berkuasa bahawa keputusan untuk mendakwa seseorang bukan semata-mata bagi menghukum individu, tetapi juga menyampaikan mesej jelas kepada rakyat Malaysia bahawa tiada siapa yang kebal daripada undang-undang.

“Kegagalan untuk bertindak hanya akan memberi galakan kepada pihak lain untuk mengulangi tindakan sama, dengan keyakinan bahawa provokasi agama tidak akan dihukum jika mereka menyasarkan kepercayaan golongan minoriti.

“Ini menimbulkan kemarahan, rasa tidak selamat dan potensi pergolakan – akibat pengabaian prinsip 3R itu sendiri,” kata Vigneswaran. — The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author