Terkini
1,443 kandungan berunsur lucah kanak-kanak dipadam setakat 15 Julai – Fahmi
- Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata kandungan tersebut diturunkan kerana melanggar Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, serta garis panduan komuniti yang ditetapkan penyedia platform masing-masing.
- Fahmi menyatakan MCMC sedang menjalankan sesi libat urus berterusan dengan penyedia platform seperti YouTube dan TikTok bagi memastikan algoritma mereka lebih telus dan selaras peraturan tempatan.
- “Ini termasuk keperluan untuk mengehadkan pendedahan pengguna kepada kandungan yang memudaratkan atau mengandungi elemen negatif,” katanya.
KUALA LUMPUR- Penyedia perkhidmatan media sosial telah menurunkan sejumlah 1,443 kandungan berunsur lucah dan ekstrem melibatkan kanak-kanak di pelbagai platform digital antara 1 Jan 2022 hingga 15 Julai tahun ini, kata Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.
Beliau berkata kandungan tersebut diturunkan kerana melanggar Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, serta garis panduan komuniti yang ditetapkan oleh penyedia platform masing-masing.
Fahmi menjawab soalan daripada Datuk Mumtaz Md Nawi (PN-Tumpat) semasa sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Ia berhubung langkah-langkah kawal selia yang telah atau akan dilaksanakan bagi memastikan algoritma platform seperti YouTube tidak terus mempromosikan kandungan aneh, toksik, dan merosakkan kognitif atau kandungan ‘brain rot’, khususnya kepada kanak-kanak dan remaja.
Mengulas lanjut, Fahmi menyatakan bahawa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang menjalankan sesi libat urus berterusan dengan penyedia platform seperti YouTube dan TikTok bagi memastikan algoritma mereka lebih telus dan selaras dengan peraturan tempatan.
“Ini termasuk keperluan untuk mengehadkan pendedahan pengguna kepada kandungan yang memudaratkan atau mengandungi elemen negatif,” katanya.
Fahmi berkata bermula 1 Jan tahun ini, penyedia mesej internet dan media sosial yang memenuhi kriteria pelesenan dikehendaki memohon lesen kelas bagi penyedia perkhidmatan aplikasi, sebagai sebahagian daripada langkah mengawal kandungan dan menggalakkan pengurusan algoritma yang lebih bertanggungjawab.
Beliau berkata, Kod Tatakelakuan yang dikeluarkan oleh MCMC turut mengenakan langkah-langkah seperti pengesahan umur, kawalan ibu bapa yang berkesan, ciri keselamatan kanak-kanak, dan audit kandungan secara berkala.
Fahmi berkata, Kempen Internet Selamat yang dilancarkan awal tahun ini sedang giat dilaksanakan di sekolah dan institusi pengajian tinggi, dengan lebih 60,000 pelajar telah menyertainya setakat ini.
“Buat masa ini, kempen ini akan dilaksanakan di 10,000 sekolah, institusi pengajian tinggi dan institut latihan perguruan melalui pelbagai inisiatif libat urus dan kerjasama dengan majlis perwakilan pelajar di universiti awam seluruh negara,” tambahnya. – BERNAMA