Connect with us

Antarabangsa

UK, Kanada dan negara sekutu Barat kenakan sekatan ke atas dua menteri pelampau Israel

WhatsApp
Facebook0
Twitter

Published

on

Foto: Menteri Keselamatan Israel, Itamar Ben Gvir (kanan) & Menteri Kewangan, Bezalel Smotrich (kiri)
  • Menurut kenyataan Kerajaan UK, Menteri Keselamatan Israel, Itamar Ben Gvir dan Menteri Kewangan, Bezalel Smotrich dikenakan larangan perjalanan dan pembekuan aset.
  • “Kami tetap komited kepada penyelesaian dua negara yang menjadi satu-satunya cara untuk menjamin keselamatan dan maruah rakyat Israel dan Palestin serta kestabilan jangka panjang di rantau ini. Namun, ini diancam oleh keganasan pelampau penempatan dan peluasan penempatan haram,” kata kenyataan itu.
  • Ben Gvir berkata beliau tidak gentar dan akan terus menghalang bantuan kemanusiaan kepada Hamas, manakala Smotrich menuduh Britain mengulangi dasar penjajahan terhadap Yahudi.

LONDON – United Kingdom, Kanada dan beberapa negara sekutu Barat mengumumkan sekatan terhadap dua menteri kanan Israel kerana berulang kali menghasut keganasan terhadap rakyat Palestin.

Menurut kenyataan Kerajaan UK, Menteri Keselamatan Israel, Itamar Ben Gvir dan Menteri Kewangan, Bezalel Smotrich dikenakan larangan perjalanan dan pembekuan aset. Kedua-dua mereka mengetuai parti politik pelampau kanan yang menyokong kerajaan rapuh Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu.

Sekatan ini dilaksanakan bersama Australia, Kanada, New Zealand, Norway dan UK. Dalam kenyataan bersama, menteri-menteri luar negara terbabit menyatakan bahawa kedua-dua menteri itu menghasut keganasan melampau dan mencabuli hak asasi rakyat Palestin.

“Kami tetap komited kepada penyelesaian dua negara yang menjadi satu-satunya cara untuk menjamin keselamatan dan maruah rakyat Israel dan Palestin serta kestabilan jangka panjang di rantau ini. Namun, ini diancam oleh keganasan pelampau penempatan dan peluasan penempatan haram,” kata kenyataan itu.

Sekatan oleh lima negara Barat ini menandakan perubahan dasar yang dilihat berbeza dengan Amerika Syarikat.

Di saat negara-negara Eropah dan Komanwel semakin menekan kerajaan Netanyahu, AS telah beberapa kali menyokong kuat Israel dan baru-baru ini menolak resolusi Majlis Keselamatan PBB yang menuntut gencatan senjata kekal di Gaza.

Smotrich dan Ben Gvir yang menetap di kawasan penempatan haram di Tebing Barat, memberi reaksi keras terhadap sekatan tersebut.

Ben Gvir berkata beliau tidak gentar dan akan terus menghalang bantuan kemanusiaan kepada Hamas, manakala Smotrich menuduh Britain mengulangi dasar penjajahan terhadap Yahudi.

Menteri Luar Israel, Gideon Saar mengumumkan kerajaan Israel akan mengadakan mesyuarat khas minggu depan bagi membincangkan tindak balas terhadap keputusan yang disifatkan sebagai tidak boleh diterima itu.

Walau bagaimanapun, menteri-menteri luar negara sekutu menegaskan bahawa langkah ini tidak menjejaskan sokongan mereka terhadap keselamatan Israel dan tetap mengutuk serangan pengganas Hamas pada 7 Oktober.

Mereka menegaskan tindakan ini disasarkan kepada individu yang menurut mereka, melemahkan keselamatan dan reputasi Israel sendiri. — The Merdeka Times

Author