Connect with us

Antarabangsa

Syarikat Israel bergelut cari pelanggan, Terpaksa bayar kos iklan 2 kali ganda

WhatsApp
Facebook0
Twitter

Published

on

Foto: Gambar Sekadar Hiasan
  • Data dalaman Meta (syarikat induk Facebook dan Instagram) yang dibocorkan menunjukkan syarikat-syarikat Israel terpaksa membayar lebih dua kali ganda berbanding tahun 2023 untuk mendapatkan penglibatan pengguna secara dalam talian.
  • Laporan siasatan oleh Drop Site News mendedahkan bahawa kos purata per klik (CPC) untuk syarikat Israel meningkat sebanyak 155.3 peratus antara 2023 dan 2025 daripada USD0.094 kepada USD0.24, satu lonjakan yang disifatkan sebagai luar biasa.
  • Kadar ini meletakkan syarikat Israel sebaris dengan syarikat dari Iraq dan Pakistan dari segi kos pengiklanan.
  • Walaupun syarikat Israel membelanjakan sekitar USD1.8 hingga USD1.9 bilion setahun untuk iklan di platform Meta, keberkesanan pengiklanan mereka menurun mendadak.

TEL AVIV – Syarikat-syarikat Israel kini berdepan kesukaran menarik pelanggan di seluruh dunia berikutan peningkatan keengganan komuniti antarabangsa untuk membeli daripada mereka selepas tercetusnya perang genosid ke atas Gaza.

Data dalaman Meta (syarikat induk Facebook dan Instagram) yang dibocorkan menunjukkan syarikat-syarikat Israel terpaksa membayar lebih dua kali ganda berbanding tahun 2023 untuk mendapatkan penglibatan pengguna secara dalam talian.

Ini mencerminkan penurunan ketara dalam minat pengguna global terhadap jenama mereka.

Laporan siasatan oleh Drop Site News mendedahkan bahawa kos purata per klik (CPC) untuk syarikat Israel meningkat sebanyak 155.3 peratus antara 2023 dan 2025 daripada USD0.094 kepada USD0.24, satu lonjakan yang disifatkan sebagai luar biasa.

Kadar ini meletakkan syarikat Israel sebaris dengan syarikat dari Iraq dan Pakistan dari segi kos pengiklanan.

Walaupun syarikat Israel membelanjakan sekitar USD1.8 hingga USD1.9 bilion setahun untuk iklan di platform Meta, keberkesanan pengiklanan mereka menurun mendadak.

Jelas laporan itu, klik terhadap iklan Israel pada tahun 2025 hanyalah 39.2 peratus berbanding 2023. Trend ini berlaku secara konsisten di semua pasaran utama.

Di Amerika Syarikat, CPC bagi iklan Israel melonjak 93.3 peratus antara 2023 dan 2024, manakala syarikat bukan Israel hanya meningkat 2.8 peratus.

Kenaikan ketara juga dilaporkan di UK 163.2 peratus, Kanada 106.6 peratus, Australia 115.9 peratus dan Jerman 144.4 peratus.

Kematian hampir 55,000 rakyat Palestin kebanyakannya wanita dan kanak-kanak akibat perang serta sekatan total ke atas Gaza telah mencetuskan gelombang boikot dan kempen BDS (Boikot, Pelucutan Pelaburan dan Sekatan) yang semakin meluas terhadap produk dan syarikat Israel.

Banyak syarikat Israel kini cuba menjauhkan diri daripada reputasi buruk rejim Zionis.

Sebahagian syarikat yang tidak dikenali secara langsung sebagai “Israel” mula menggunakan mesej pro-Israel dalam kempen mereka, tetapi usaha ini gagal mengekang penurunan ketara penglibatan pengguna.

Meskipun kerajaan Israel melabur tambahan USD150 juta untuk kempen diplomasi awam global demi membaiki reputasi antarabangsa mereka, data menunjukkan sentimen pengguna terus menjunam dan strategi tersebut masih belum berhasil. –The Merdeka Times

Author