Terkini
SIS Forum tidak guna perkataan Islam ketika daftar bawah SSM

- Menurut Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, SIS didaftarkan pada 1993 sebagai Syarikat Terhad Menurut Jaminan (CLBG) di bawah nama SIS Forum (Malaysia) dan ia selaras Akta Syarikat 2016.
- Nama yang didaftarkan ialah SIS Forum (Malaysia) dan tidak mengandungi perkataan ‘Islam’. Oleh itu, kita tidak merujuknya kepada JAKIM. – Armizan
- Perkataan ‘Islam’ dikategorikan sebagai istilah terkawal dan mana-mana syarikat yang ingin menggunakannya perlu kebenaran JAKIM.
KUALA LUMPUR — SIS Forum Malaysia dilapor tidak menggunakan sebarang perkataan membabitkan istilah agama ketika mendaftar di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
Menurut Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, SIS didaftarkan pada 1993 sebagai Syarikat Terhad Menurut Jaminan (CLBG) di bawah nama SIS Forum (Malaysia) dan ia selaras Akta Syarikat 2016.
“Dari sudut bidang kuasa KPDN, khususnya menerusi SSM, nama yang didaftarkan ialah SIS Forum (Malaysia) dan tidak mengandungi perkataan ‘Islam’. Oleh itu, kita tidak merujuknya kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
“Sebelum ini memang sudah ada garis panduan, ketika ia didaftarkan, syarikat berkenaan tidak menggunakan sebarang perkataan membabitkan istilah agama,”katanya dipetik BH pada Isnin.
Tambah beliau, garis panduan penamaan syarikat di bawah SSM sememangnya sudah wujud sekian lama.
Mengulas gesaan Persatuan Ulama Malaysia (PUM) supaya SSM memperketatkan garis panduan penamaan syarikat khususnya membabitkan istilah agama seperti Islam dan Muslim, Armizan dilapor berkata perkara itu memang sudah termaktub mengikut Akta Syarikat 2016.
Mengikut akta berkenaan, perkataan ‘Islam’ dikategorikan sebagai istilah terkawal dan mana-mana syarikat yang ingin menggunakannya perlu mendapatkan kebenaran JAKIM.
SSM juga menetapkan syarat pihak yang ingin mendaftar nama perusahaan perlu mengelak menggunakan perkataan yang menyentuh, melambangkan unsur keagamaan atau kepercayaan serta melambangkan sesuatu agama. — The Merdeka Times
