Terkini
Sindiket promosi keluar masuk Malaysia dalam media sosial dikenal pasti

- Menurut Pemangku Timbalan Ketua Pengarah Operasi Maritim Malaysia, Laksamana Muda Mohd Zawawi Abdullah, Maritim Malaysia bekerjasama dengan SKMM untuk mengesan perkembangan sindiket berkenaan, namun terdapat had penguatkuasaan kerana ia berlaku di negara jiran.
- Pergerakan dan promosi kerap berlaku ketika musim perayaan kerana permintaan tinggi sama ada untuk pulang ke negara asal atau masuk semula ke Malaysia.
- Anggaran jumlah sindiket sukar untuk beritahu, kalau dalam TikTok mungkin satu atau dua sindiket, tetapi di luar dia punya kartel atau pusher banyak.
- Tindakan drastik akan diambil kepada semua sindiket apabila kesemua laluan dan titik panas (hotspot) di perairan dan jalan tikus di negara ini dikenal pasti.
KUALA LUMPUR — Sindiket atau kartel pemerdagangan manusia yang membuat promosi menerusi media sosial dari negara jiran untuk membawa masuk dan keluar pendatang tanpa izin (PATI) ke negara ini telah dikenal pasti oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).
Turut dikesan adalah beberapa laluan dan modus operandi di Johor dan Selangor, namun ia kerap berubah bagi mengaburi pihak berkuasa.
Menurut Pemangku Timbalan Ketua Pengarah Operasi Maritim Malaysia, Laksamana Muda Mohd Zawawi Abdullah dalam hal ini, tindakan seperti sekatan dalam media sosial berdepan kekangan dalam penguatkuasaan.
Beliau berkata Maritim Malaysia bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk mengesan perkembangan sindiket berkenaan, namun terdapat had penguatkuasaan kerana ia berlaku di negara jiran.
“Masalah setiap tahun ada, yang menjadi masalah kebanyakan platform yang digunakan bukan dekat Malaysia, media sosial yang mereka gunakan banyak di negara jiran kita.
“Jadi, untuk SKMM ambil tindakan memang agak sukar walaupun selepas setiap kali isu yang berkaitan dengan promosi balik ke sana dan sebagainya, negeri-negeri yang terlibat dan pihak Unit Komunikasi Korporat (UKK) sekali memantau berkaitan dengan aktiviti tersebut,” katanya dipetik media tempatan hari ini.
Tambah Mohd Zawawi, pergerakan dan promosi dilakukan sindiket tersebut kerap berlaku ketika musim perayaan iaitu pada waktu sebelum dan selepas.
Ini kerana ketika itu ia mendapat permintaan tinggi sama ada untuk mereka pulang ke negara asal atau masuk semula ke Malaysia.
“Melalui hasil risikan, maklumat awam diterima dari negeri-negeri terlibat dikenal pasti dan perancangan untuk melakukan satu operasi yang mungkin tidak mengekang keseluruhan, kerana aktiviti tersebut ia akan senyap sekejap kemudian timbul semula.
“Anggaran (jumlah sindiket) sukar juga untuk beritahu. Kalau dalam TikTok mungkin kita jumpa satu atau dua sindiket, tetapi (di luar) dia punya kartel atau pusher banyak. Kalau kita dapat hentikan satu, ia akan timbul lagi,” katanya.
Mohd Zawawi turut memberi amaran tindakan drastik akan diambil kepada semua sindiket apabila kesemua laluan dan titik panas (hotspot) di perairan dan jalan tikus di negara ini sudah pun dikenal pasti. – The Merdeka Times
