Connect with us

Terkini

Pastikan doktrin hak asasi Barat tidak bercanggah Islam dan prinsip keluhuran Perlembagaan – Pakar

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Hidayah Sani

Published

on

Foto: Pakar Perlembagaan, Datuk Profesor Madya Dr Wan Ahmad Fauzi Wan Husain
  • Itu peringatan Pakar Perlembagaan, Datuk Profesor Madya Dr Wan Ahmad Fauzi Wan Husain susulan TPM Fadillah gesa dasar kebangsaan yang seragam diwujudkan bagi menyelaras pelaksanaan undang-undang syariah dan sivil khususnya berkaitan hak asasi manusia.
  • Fauzi berkata tiada keperluan untuk undang-undang syariah atau sivil diselaraskan dengan tuntutan hak asasi mengikut kaca mata Barat.
  • Perkataan hak asasi tidak tertulis dalam Perlembagaan tetapi elemen itu wujud berdasarkan kerangka kebebasan asasi yang ditakrifkan Perlembagaan.
  • Tuntutan hak asasi hari ini dilihat cenderung menolak cara hidup berteraskan prinsip kebebasan beragama.

KUALA LUMPUR — Kerajaan perlu menitikberatkan agar sebarang penerimaan doktrin hak asasi Barat dalam sistem perundangan negara tidak bercanggah dengan ajaran Islam dan prinsip keluhuran Perlembagaan yang menguruskan isu kebebasan asasi.

Peringatan itu disuarakan Pakar Perlembagaan, Datuk Profesor Madya Dr Wan Ahmad Fauzi Wan Husain ketika diminta mengulas tentang gesaan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof supaya dasar kebangsaan yang seragam diwujudkan bagi menyelaras pelaksanaan undang-undang syariah dan sivil khususnya berkaitan hak asasi manusia.

Fadillah berkata perbezaan tafsiran undang-undang antara persekutuan dan negeri bukan sahaja menimbulkan kekeliruan, malah memberi kesan langsung kepada pentadbiran dan hak individu.

Mengulas lanjut, Wan Ahmad Fauzi berkata dalam hal ini juga tiada keperluan untuk undang-undang syariah (yang terpakai untuk orang Islam sahaja) atau undang-undang sivil yang terpakai secara umum bagi Muslim dan bukan Muslim diselaraskan dengan tuntutan hak asasi mengikut kaca mata Barat.

“Islam adalah agama bagi Persekutuan dan Negeri…Perlembagaan Persekutuan menjamin prinsip keluhuran Perlembagaan tentang kedaulatan undang-undang yang berlandaskan ajaran Islam selaras kewajipan Yang di-Pertuan Agong dan raja-raja untuk memelihara kesucian agama Islam dan prinsip kebebasan beragama seperti yang diperuntukkan.

“Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan kebebasan asasi yang jelas di samping terdapat jaminan terhadap diskriminasi berperlembagaan.

“Perkataan hak asasi tidak tertulis dalam Perlembagaan tetapi elemen tersebut wujud berdasarkan kerangka kebebasan asasi yang ditakrifkan Perlembagaan, malangnya tuntutan hak asasi pada hari ini kelihatan lebih cenderung untuk menolak cara hidup yang patuh kepada prinsip kebebasan beragama,” katanya kepada The Merdeka Times di sini pada Selasa.

Tambah beliau, sistem perundangan, kehakiman Malaysia dan eksekutif di negara ini tidak bersifat dualisme (dua sistem yang saling terpisah), sebaliknya ia federalisme yang tidak memisahkan ajaran Islam daripada aspek sekular (duniawi) atau awam.

Apa yang diperuntukkan melalui Jadual Kesembilan dan peruntukan nyata dalam Perlembagaan ialah (pembahagian) bidang kuasa Persekutuan dan Negeri serta terdapat senarai bersama dan baki kuasa perundangan yang kekal di bawah bidang kuasa negeri, bukan antara dua doktrin yang bersifat Islam atau tidak Islam,” katanya. — The Merdeka Times

Author