Connect with us

Terkini

TPM Fadillah gesa wujud dasar kebangsaan selaras undang-undang syariah, sivil

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Wartawan TMT

Published

on

Foto: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof
  • Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata perbezaan tafsiran undang-undang antara persekutuan dan negeri bukan sahaja menimbulkan kekeliruan, malah memberi kesan langsung kepada pentadbiran dan hak individu.
  • “Kita perlu dasar yang menyatukan pelbagai tafsiran undang-undang, bukan sekadar selaras dengan nilai antarabangsa tetapi juga dengan apa yang dituntut dalam agama kita sendiri,” katanya dipetik media hari ini.

KUALA LUMPUR — Dasar kebangsaan yang seragam perlu diwujudkan bagi menyelaras pelaksanaan undang-undang syariah dan sivil, khususnya berkaitan hak asasi manusia.

Demikian gesaan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof yang berpandangan perbezaan tafsiran undang-undang antara persekutuan dan negeri bukan sahaja menimbulkan kekeliruan, malah memberi kesan langsung kepada pentadbiran dan hak individu.

“Kita perlu dasar yang menyatukan pelbagai tafsiran undang-undang, bukan sekadar selaras dengan nilai antarabangsa tetapi juga dengan apa yang dituntut dalam agama kita sendiri,” katanya dipetik media hari ini.

Beliau berkata demikian dalam ucapan penutup Muzakarah Isu Hak Asasi Manusia dalam Perspektif Maqasid Syariah anjuran Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) yang membincangkan isu kritikal seperti perkahwinan bawah umur, bayi dan anak-anak terdampar, hukuman alternatif dalam undang-undang syariah serta hak pelarian dengan penekanan terhadap prinsip maqasid syariah sebagai asas pendekatan dasar.

Mengulas lanjut, Fadillah berkata perbincangan itu membuktikan Islam tidak pernah menafikan hak asasi manusia, sebaliknya perkara tersebut diperkukuhkan menerusi neraca wahyu dan prinsip keadilan sejagat.

“Apa yang penting, pendekatan seimbang dan inklusif mestilah diutamakan, agar hak-hak tersebut tidak terpisah daripada tanggungjawab, nilai moral dan tujuan syariah itu sendiri,” katanya.

Beliau juga menegaskan bahawa prinsip hak asasi manusia tidak bercanggah ajaran Islam, malah boleh diharmonikan menerusi pendekatan maqasid syariah yang menekankan lima asas utama iaitu pemeliharaan agama, nyawa, akal, keturunan dan harta.

Fadillah turut mengaitkan perkara itu dengan gagasan Malaysia Madani diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang menurutnya bukan sekadar model pentadbiran, tetapi wawasan berteraskan nilai seperti hormat, etika dan akhlak dalam membina masyarakat bertamadun.

“Di bawah pentadbiran kerajaan Madani kedua-dua prinsip hak asasi dan maqasid syariah mesti dijadikan panduan bersama dalam merangka dasar negara yang seimbang dari sudut spiritual, sosial dan ekonomi,” katanya. — The Merdeka Times

Author