Terkini
Operasi sah dan terkawal, Ispire Malaysia jelaskan status kilang vape di Johor
- Dalam satu kenyataan, syarikat itu berkata semua aktiviti pengilangan di fasiliti tersebut dijalankan di bawah prosedur yang ketat dan hanya untuk tujuan eksport.
- Menurut Ispire Malaysia, produk yang dihasilkan tidak mengandungi nikotin atau kanabis dalam bentuk cecair atau gel, justeru tidak tertakluk di bawah Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 yang dikuatkuasakan oleh Kementerian Kesihatan.
- Syarikat itu turut menegaskan bahawa semua produknya tidak dipasarkan, dijual atau diedarkan di dalam negara dan tidak boleh diakses oleh pengguna tempatan.
JOHOR — Ispire Malaysia Sdn Bhd hari ini menegaskan bahawa kilangnya di Senai, Johor yang menghasilkan peranti rokok elektronik beroperasi sepenuhnya mengikut undang-undang dan peraturan tempatan.
Dalam satu kenyataan, syarikat itu berkata semua aktiviti pengilangan di fasiliti tersebut dijalankan di bawah prosedur yang ketat dan hanya untuk tujuan eksport.
“Sehingga kini, Ispire Malaysia hanya mengeluarkan produk perkakasan separuh siap yang ditujukan secara eksklusif untuk pasaran eksport,” jelas kenyataan itu.
Menurut Ispire Malaysia, produk yang dihasilkan tidak mengandungi nikotin atau kanabis dalam bentuk cecair atau gel, justeru tidak tertakluk di bawah Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 yang dikuatkuasakan oleh Kementerian Kesihatan.
Syarikat itu turut menegaskan bahawa semua produknya tidak dipasarkan, dijual atau diedarkan di dalam negara dan tidak boleh diakses oleh pengguna tempatan.
Sebaliknya, semua produk siap dieksport ke pasaran antarabangsa yang dikawal selia seperti Amerika Syarikat dan United Kingdom, di mana ia diluluskan untuk dijual oleh pihak berkuasa masing-masing.
Ispire Malaysia juga menjelaskan bahawa maklumat yang dipetik dalam beberapa laporan media sebelum ini berasal daripada laman web rasmi Ispire di Amerika Syarikat dan berkaitan operasi jualan perniagaan keperniagaan di negara yang membenarkan penggunaan produk berasaskan kanabis.
“Kenyataan-kenyataan itu tidak menggambarkan operasi Ispire Malaysia, yang mematuhi sepenuhnya undang-undang dan rangka kawal selia Malaysia,” katanya.
Terdahulu, portal kesihatan CodeBlue melaporkan bahawa Ispire menghasilkan produk vape berkaitan nikotin dan kanabis, serta peranti yang digunakan pelanggan mengandungi minyak kanabis dalam pasaran global.
Ispire Malaysia mengakhiri kenyataan dengan menjelaskan bahawa sebarang pengeluaran produk berasaskan nikotin, jika dimulakan, hanya untuk tujuan eksport dan tertakluk kepada kelulusan rasmi daripada semua agensi kerajaan berkaitan di peringkat persekutuan dan negeri.
Semalam, Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad berkata Kabinet akan membuat keputusan berhubung masa depan operasi Ispire di Malaysia. — The Merdeka Times