Terkini
NGO disyaki seleweng dana RM26 juta, termasuk ‘gelapkan’ wang misi kemanusiaan Syria

- Kegiatan NGO tersebut terbongkar selepas SPRM buat tangkapan terhadap lima suspek, termasuk pengerusi, setiausaha, bendahari dan pegawai kewangan pertubuhan itu menerusi Op Serantau oleh SPRM Selangor.
- “Modus operandi menyeleweng dana ini hampir sama seperti pertubuhan Aman Palestin apabila mereka memindahkan wang ke dalam akaun peribadi, selain bagi membeli barang kemas, kereta, tanah, dan mata wang kripto,” kata sumber yang dipetik Harian Metro, hari ini.
- “Antara barangan yang disita ialah barang kemas dianggarkan bernilai RM100,000, wang tunai berjumlah lebih RM1 juta, akaun kripto melibatkan nilai kira-kira RM650,000 dan empat unit rumah dianggarkan bernilai lebih RM1.4 juta,” – Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki
KUALA LUMPUR — Menyeleweng hasil sumbangan orang ramai bernilai RM26 juta dengan memindahkan dana pertubuhan ke akaun peribadi serta membelanjakannya bagi pembelian barang kemas, kereta, tanah, rumah serta mata wang kripto antara modus operandi didakwa dilakukan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mengutip sumbangan awam.
Malah, lebihan wang daripada projek pembinaan telaga untuk misi kemanusiaan di Syria turut didakwa ‘digelapkan’ untuk kegunaan sendiri.
Kegiatan NGO tersebut terbongkar selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuat tangkapan terhadap lima suspek, termasuk pengerusi, setiausaha, bendahari dan pegawai kewangan pertubuhan itu menerusi Op Serantau dijalankan SPRM Selangor di beberapa lokasi sekitar Selangor, Melaka dan Pulau Pinang bermula Khamis lalu.
Menurut sumber yang dipetik Harian Metro, hari ini, lima suspek terbabit kini direman tujuh hari, iaitu empat daripadanya sehingga Rabu, manakala seorang lagi sehingga Khamis ini.
Sumber itu berkata kegiatan menyeleweng dana hasil sumbangan orang ramai tersebut dipercayai berlaku sejak 2015 hingga sekarang.
“Modus operandi menyeleweng dana ini hampir sama seperti yang berlaku dengan pertubuhan Aman Palestin apabila mereka memindahkan wang ke dalam akaun peribadi, selain bagi membeli barang kemas, kereta, tanah, dan mata wang kripto.
“Mereka juga dipercayai memindahkan dana pertubuhan ke akaun peribadi bagi memberi pinjaman kepada kakitangan pertubuhan terbabit, selain menggelapkan wang lebihan projek pembinaan telaga bagi misi kemanusiaan di Syria untuk kegunaan sendiri,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dilapor mengesahkan penangkapan tersebut dan memaklumkan pihaknya telah menyita pelbagai aset berjumlah lebih RM8 juta.
“Antara barangan yang disita ialah barang kemas dianggarkan bernilai RM100,000, wang tunai berjumlah lebih RM1 juta, akaun kripto melibatkan nilai kira-kira RM650,000 dan empat unit rumah dianggarkan bernilai lebih RM1.4 juta
“SPRM juga membekukan 14 akaun perbankan melibatkan jumlah hampir RM5 juta bagi siasatan lanjut,” katanya yang turut memaklumkan kes itu disiasat di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan. — The Merdeka Times
