Terkini
Langgar kerahsiaan, Public Bank diarah bayar RM90 juta kepada NFC
- Mahkamah Persekutuan berpandangan bahawa Mahkamah Rayuan telah terkhilaf kerana tidak mengambil kira laporan kewangan dan akaun teraudit yang dikemukakan NFCorp melalui saksi pakar.
- Pihak Public Bank tidak memanggil mana-mana saksi untuk mencabar kesahihan dokumen atau kepakaran saksi tersebut.
- Kes ini berpunca daripada pendedahan maklumat perbankan oleh bekas Naib Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli, pada tahun 2012 yang menggunakan dokumen sulit tersebut untuk membuat dakwaan mengenai salah guna dana pinjaman kerajaan oleh NFCorp, termasuk pembelian hartanah mewah.
PUTRAJAYA — Mahkamah Persekutuan hari ini memutuskan bahawa Public Bank Bhd perlu membayar RM90 juta kepada National Feedlot Corporation (NFCorp) dan tiga syarikat berkaitannya kerana melanggar kewajipan kerahsiaan dengan mendedahkan maklumat akaun pelanggan kepada pihak luar.
Panel tiga hakim yang diketuai oleh Hakim Besar Malaya, Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim, mengarahkan Public Bank membayar masing-masing RM30 juta dalam bentuk ganti rugi saksama, teladan, dan teruk (aggravated).
Turut bersidang ialah Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Abdul Rahman Sebli, serta Hakim Datuk Abu Bakar Jais.
“Public Bank juga diarahkan membayar faedah sebanyak 2 peratus ke atas jumlah RM90 juta tersebut bermula 18 Jun sehingga bayaran selesai sepenuhnya,” kata Hasnah ketika membacakan penghakiman.
Keputusan ini dibuat selepas Mahkamah Persekutuan menolak rayuan Public Bank terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang sebelum ini memutuskan bank tersebut bertanggungjawab atas pelanggaran kerahsiaan.
Mahkamah Rayuan sebelum ini hanya memberikan ganti rugi nominal sebanyak RM10,000 kepada NFCorp.
Bagaimanapun, Mahkamah Persekutuan berpandangan bahawa Mahkamah Rayuan telah terkhilaf kerana tidak mengambil kira laporan kewangan dan akaun teraudit yang dikemukakan NFCorp melalui saksi pakar.
Tambahan, pihak bank tidak memanggil mana-mana saksi untuk mencabar kesahihan dokumen atau kepakaran saksi tersebut.
Tuntutan asal NFCorp melibatkan jumlah sebanyak RM560 juta merangkumi RM60 juta ganti rugi am, RM250 juta ganti rugi teladan, dan RM250 juta ganti rugi teruk.
NFCorp diwakili oleh peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah bersama Sarah Abishegam dan Farah Mustaffa, manakala pasukan guaman Public Bank diketuai oleh Chan Kok Keong.
Kes ini berpunca daripada pendedahan maklumat perbankan oleh bekas Naib Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli, pada tahun 2012 yang menggunakan dokumen sulit tersebut untuk membuat dakwaan mengenai salah guna dana pinjaman kerajaan oleh NFCorp, termasuk pembelian hartanah mewah.
Ketika itu, Salleh Ismail, Pengerusi NFCorp dan suami kepada bekas Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, menafikan sekeras-kerasnya dakwaan tersebut dan memfailkan saman terhadap Public Bank atas kebocoran maklumat sulit yang didakwa berpunca daripada seorang kakitangan bank. -The Merdeka Times